You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Askar bantu bina jambatan sementara

Harian Metro logo Harian Metro 2 days ago Mohd Rafi Mamat
a tractor on a rock: KERJA membina jambatan sementara. FOTO ihsan RAJD © Provided by Harian Metro KERJA membina jambatan sementara. FOTO ihsan RAJD am@hmetro.com.my

Enam batang balak digunakan untuk membina jambatan sementara 30 meter merentasi Sungai Sir di Pos Lenjang, Lipis selepas jambatan lama musnah dilanda kepala air, Sabtu lalu.

Projek pembinaan dilakukan anggota Skuadron Ke-11 Rejimen Askar Jurutera Diraja Mekanize (11 RAJD Mek) dibantu Seksyen Rinser Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja (Lapan RAMD) Kem Batu 10, Kuantan bermula kelmarin.

Komander Rejimen Jutra (KRJ) Tiga Divisyen, Kolonel Mohd Afendi Abu Bakar berkata, seorang pegawai dan 20 anggota lain-lain pangkat terbabit menjayakan Program Jiwa Murni untuk kemudahan masyarakat Orang Asli di Pos Lenjang dan Pos Titom yang sebelum ini terputus hubungan.

Menurutnya, projek terbabit yang dijangka siap esok turut mendapat kerjasama Kerajaan Pahang, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang yang menyediakan kemudahan jentera berat seperti jenkaut.

"Program Jiwa Murni yang diusahakan ini antara aktiviti dilakukan dalam usaha meningkatkan lagi hubungan antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan masyarakat terutama di kawasan luar bandar.

"Jambatan sementara yang dibina dapat memberi kemudahan kepada lebih 1,500 penduduk Orang Asli di Pos Lenjang dan Pos Titom keluar bekerja selain mendapatkan keperluan makanan," katanya selepas melakukan lawatan kerja dilokasi bantuan bencana di Pos Lenjang dan Pos Titom serta meninjau kerja membina jambatan sementara.

Turut hadir, Pegawai Pemerintah 11 Skuadron RAJD, Mejar Ahmad Nizam Adnan dan Pegawai Operasi Lapan RAMD, Mejar Asnul Arsham Shawal.

Beliau berkata, untuk jangka masa panjang pihaknya dengan kerjasama JKR akan membina jambatan 'bailey' bagi memberi lebih keselesaan kepada penduduk setempat menyeberangi Sungai Sir yang kini terdapat banyak batu besar selepas kejadian kepala air.

Kepala air itu turut menyebabkan banjir lumpur selain tanah runtuh dan tiga rumah musnah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More From Harian Metro

image beaconimage beaconimage beacon