You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Cemburukan bekas isteri punca bakar motor

Sinar Harian logo Sinar Harian 7/7/2022 MOHD HARIS FADLI MOHD FADZIL
© Provided by Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Cemburu terhadap bekas isteri dipercayai menjadi motif tiga orang lelaki memulakan kebakaran yang mengakibatkan 34 buah motosikal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, di sini musnah pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohammad Idzam Jaafar berkata, hasil risikan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya mengesan dan menahan tiga orang suspek berusia lingkungan 31 hingga 43 tahun pada Khamis.

"Kesemua suspek merupakan warga tempatan itu ditahan lebih kurang jam 2.30 pagi di sekitar PPR sama di mana kejadian itu berlaku.

"Punca kejadian adalah bermotifkan cemburu terhadap hubungan bekas isteri salah seorang suspek dengan salah seorang pemilik motosikal terbabit," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu Sinar Harian melaporkan sebanyak 34 buah motosikal di kawasan parkir, Blok G, PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil musnah terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat.

Mengulas lanjut, Mohammad Idzam berkata, kesemua suspek direman enam hari bermula Khamis untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhamad Firdaus Eber di talian 014-364 9458; Hotline Polis Cheras, 03-9284 5050/ 5051; Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai berhampiran," ujarnya.

More from Sinar Harian

image beaconimage beaconimage beacon