You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

COVID-19: Masyarakat Malaysia tak mampu jaga diri sepenuhnya

Berita Harian logo Berita Harian 23/5/2020 Oleh Luqman Arif Abdul Karim
a group of people walking down a street: Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) antara lokasi di Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan masyarakat berbelanja setiap kali menjelang sambutan Aidilfitri © Provided by Berita Harian Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) antara lokasi di Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan masyarakat berbelanja setiap kali menjelang sambutan Aidilfitri luqman.arif@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Tanggungjawab disiplin sosial untuk berdepan COVID-19, tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu masyarakat, kerana segelintir individu masih memandang enteng bahaya 'musuh ghaib' berkenaan.

Kegusaran sedemikian lebih terarah kepada kira-kira 20 peratus kelompok masyarakat di negara ini, termasuk warga asing yang membanjiri segenap pelosok Malaysia.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun, menjangkakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat ketika ini berada pada tahap kira-kira 70 hingga 80 peratus.

Berdasarkan perangkaan itu, katanya, usaha mendidik masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang sosio-ekonomi mengenai COVID-19 wajar terus diperkasakan.

"Tidak boleh kita 'lepas tangan' dan letakkan 100 peratus tanggungjawab berdepan COVID-19 kepada masyarakat kerana kesedaran rakyat terhadap bahaya wabak ini masih berada pada tahap 50 hingga 60 peratus.

"Usah ambil suasana di pusat beli belah terkemuka, sebaliknya kedai runcit biasa di kawasan perumahan cukup menggambarkan bahawa ada segelintir individu yang masih tidak boleh hadam risiko kesihatan angkara COVID-19.

"Ada kelompok masyarakat paranoid dengan COVID-19, tetapi wujud juga golongan lain yang mengambil sikap sambil lewa dan langsung tidak mempedulikan SOP ditetapkan kerajaan.

"Oleh itu, tidak pelik mengapa kita lihat masih ada yang bawa kanak-kanak ke pusat beli belah tanpa menghiraukan risiko wabak ini," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam dilaporkan berkata sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengambil tanggungjawab memikul tugas membendung penularan COVID-19 untuk memberi peluang petugas barisan hadapan 'berehat'.

Mengulas perubahan kawalan penularan yang lebih berkonsep 'santai' ketika ini, Dr Hanafiah berkata, percaturan itu dibuat bersandarkan perkembangan semasa COVID-19 dan statistik harian kes penyakit seperti influenza (ILI) serta jangkitan pernafasan akut teruk (SARI).

"Memang kes SARI dan ILI atau penularan sporadik semakin berkurangan dalam kalangan masyarakat, justeru kita boleh 'rehat' sebentar dan mengurangkan ketegangan yang dialami sistem perkhidmatan kesihatan negara.

"Kelonggaran juga diperuntukkan kerana kita dapati wujud kesedaran masyarakat untuk mendapatkan rawatan secara lebih awal sekiranya mengesyaki diri mereka dijangkiti kes sporadik.

"Cuma, kerisauan kita ketika ini ialah membabitkan warga asing yang menyaksikan usaha mendidik mereka berdepan beberapa kekangan, termasuk faktor bahasa pengantara dan takut dengan pihak berkuasa," katanya.

Pakar perunding kesihatan, Datuk Seri Dr Zulkornain Ahmad, pula berkata petugas barisan hadapan perlu 'direhatkan' bagi berdepan kemungkinan peningkatan kes COVID-19 selepas Aidilfitri.

Kegagalan berbuat demikian, katanya, bakal mengundang risiko kepincangan sistem perkhidmatan kesihatan awam, memandangkan petugas barisan hadapan sebelum ini 'berperang' tanpa henti mengawal penularan wabak berkenaan.

"Ini bukan bermaksud semua petugas barisan hadapa bercuti, tetapi mereka diberi rehat secara bergilir supaya dapat 'ambil nyawa' sebab kita tidak tahu kemungkinan gelombang seterusnya melanda selepas raya.

"Oleh itu, wajar percaturan seperti ini dibuat, tetapi bukan secara membuta tuli, sebaliknya sebarang kelonggaran dan keputusan untuk 'merehatkan' petugas barisan hadapan dibuat bersandarkan statistik harian kes COVID-19," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19
  • © New Straits Times Press (M) Bhd

    More From Berita Harian

    image beaconimage beaconimage beacon