You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Kenapa MBSA larang media buat liputan, soal kumpulan wartawan

Free Malaysia Today logo Free Malaysia Today 8/4/2021 FMT Reporters
a large building: Majlis Bandaraya Shah Alam melarang media membuat liputan prosiding awam pagi ini berkaitan dengan draf rancangan tempatan majlis berkenaan bagi 2021-2035. © Provided by Free Malaysia Today Majlis Bandaraya Shah Alam melarang media membuat liputan prosiding awam pagi ini berkaitan dengan draf rancangan tempatan majlis berkenaan bagi 2021-2035.

PETALING JAYA: Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) hari ini mendesak penjelasan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana melarang wartawan membuat liputan prosiding awam pagi ini berhubung draf rancangan tempatan majlis bagi 2021-2035.

Dalam kenyataan, Pengarah Eksekutifnya Wathshlah G Naidu berkata, MBSA mesti memberikan sebab jelas kenapa ia menyekat pendedahan maklumat berhubung prosiding awam itu.

Katanya, tindakan menghalang media membuat liputan bererti MBSA tidak telus dalam mendedahkan maklumat berhubung isu yang melibatkan kepentingan awam.

“Akses kepada prosiding awam dan melaporkan isu berkaitan kepentingan awam adalah peranan asas media yang perlu dibuat tanpa sekatan, kerana ini akan mencabar kebebasan media dan memberi kesan terhadap maklumat yang berhak diketahui umum.

“Ia turut menjejaskan keupayaan orang awam untuk terlibat dalam perbincangan atau debat konstruktif berkaitan dengan proses mencapai keputusan berhubung Rimba Komuniti Shah Alam.

“Bagaimana pula nanti kita akan memastikan MBSA dan agensi negeri berkaitan bertanggungjawab atas keputusan serta tindakan mereka yang pasti akan memberi kesan terhadap masyarakat umum?”

Kumpulan media berkenaan berkata, tindakan MBSA itu melanggar Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 yang bertujuan “mempertingkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam dan untuk memberi peluang kepada setiap individu untuk mengakses maklumat yang dibuat oleh jabatan-jabatan kerajaan negeri melalui permohonan yang dikemukakan kepada Jabatan yang berkenaan” seterusnya memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Tambahnya, majlis itu perlu melakukan lebih baik lagi dalam mempertahankan kebebasan media untuk melaporkan sebarang prosiding awam bagi memastikan ketelusan selain meningkatkan demokrasi penyertaan dan tabir urus baik.

Terdahulu hari ini, MBSA melarang wartawan membuat liputan prosiding awam berhubung bantahan terhadap pembangunan dan penggunaan tanah Rimba Komuniti Shah Alam.

Prosiding hari ini diadakan di Wisma MBSA dan walaupun dikatakan adalah terbuka, pegawai majlis mendakwa liputan media tidak boleh dilakukan.

Sementara itu, SACF Society, NGO yang memperjuangkan pemuliharaan rimba berkenaan berkata, prosiding hari ini tidak mencapai sebarang keputusan berhubung pembangunan hutan itu.

“Tiada sesiapa daripada pihak berkuasa dapat memberikan jawapan muktamad sama ada Rimba Komuniti Shah Alam telah diwartakan mengikut undang-undang.

“Prosiding berakhir dengan Ng Sze Han (Exco Selangor) mengatakan MBSA akan melakukan siasatan mendalam berhubung status hutan itu dari segi undang-undang,” kata pengasas SACF Alicia Teoh dalam kenyataan.

More from Free Malaysia Today

Free Malaysia Today
Free Malaysia Today
image beaconimage beaconimage beacon