You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Lewat, gagal kemuka laporan punca nama tiada dalam senarai perwakilan

Berita Harian logo Berita Harian 3/12/2019 Oleh Nazura Ngah
© Provided by Berita Harian nazura_ngah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Perwakilan bagi tujuh cabang Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak disenaraikan sebagai perwakilan ke Kongres Nasional Tahunan pergerakan itu, Jumaat ini berikutan lewat dan gagal mengemukakan Laporan Mesyuarat Agung cabang masing-masing.

Setiap cabang perlu memilih sembilan nama perwakilan dan dinyatakan dalam Laporan Mesyuarat Agung yang kemudiannya perlu diserahkan kepada Setiausaha AMK, selewat-lewatnya tujuh hari selepas mesyuarat berlangsung atau selewat-lewatnya pada 29 Oktober lalu.

Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razab, berkata bagaimanapun pihaknya hanya menerima laporan daripada enam cabang terbabit bulan ini, manakala satu cabang tidak menyerahkan laporan.

Laporan AMK Rantau Panjang diterima pada 22 November, manakala AMK Kuala Selangor dan Sepang (25 November), AMK Kuala Krai dan Kelana Jaya (26 November), AMK Bentong (27 November) dan tiada penerimaan laporan direkodkan daripada AMK Jeli.

“Cabang ini bukan saja gagal patuh kepada disiplin dan tarikh yang ditetapkan, tetapi tidak berusaha untuk memperbetulkan keadaan mengikut saluran yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Syukri, berkata Sekretariat Setiausaha AMK akan menyemak Laporan Mesyuarat Agung dan akan menyenaraikan senarai penuh perwakilan daripada seluruh negara.

Beliau berkata, memahami kesulitan dihadapi oleh kepemimpinan AMK di peringkat cabang untuk menyerahkan laporan mengikut waktu ditetapkan, Setiausaha AMK melalui satu notis khas bertarikh 26 Oktober lalu menetapkan tempoh ihsan selewat-lewatnya 29 Oktober untuk berbuat demikian.

Katanya, selepas 29 Oktober, Setiausaha AMK mengeluarkan senarai penuh perwakilan yang dipaparkan melalui laman web kongresamk2019.com iaitu laman rasmi untuk Kongres Nasional Tahunan AMK 2019.

“Berserta dengan paparan itu, satu notis Setiausaha AMK juga diedarkan pada 11 November untuk semua kepemimpinan AMK negeri dan cabang menyemak dan mengesahkan nama perwakilan yang dipaparkan.

“Notis itu juga menyebut dengan jelas bahawa AMK cabang dan negeri perlu mengesahkan senarai perwakilan ini selewat-lewatnya pada 16 November,” katanya.

Ahmad Syukri mengulas kenyataan media beberapa individu yang mendakwa mereka dihalang daripada hadir sebagai perwakilan ke Kongres Nasional Tahunan AMK 2019 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 6 Disember ini.

Individu itu mendakwa terdapat tujuh cabang AMK yang dinafikan hak sebagai perwakilan iaitu Kuala Selangor, Sepang, Kelana Jaya, Kuala Krai, Jeli, Rantau Panjang dan Bentong.

Perwakilan Kongres Nasional Tahunan AMK 2019 adalah mereka yang dipilih melalui Mesyuarat Agung Tahunan AMK cabang yang berlangsung bermula 2 Ogos sehingga 13 Oktober lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More From Berita Harian

image beaconimage beaconimage beacon