You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Pucuk pimpinan digesa perbetul PKR elak lebih ramai keluar parti

Free Malaysia Today logo Free Malaysia Today 23/5/2020 Faiz Zainudin
a ship is parked in front of a building: Seorang ahli Parlimen PKR dipercayai akan mengumumkan keputusan keluar parti hari ini, manakala sumber dalaman parti itu berkata, ‘beberapa lagi ahli Parlimen’ akan menjadi wakil rakyat bebas. © Provided by Free Malaysia Today Seorang ahli Parlimen PKR dipercayai akan mengumumkan keputusan keluar parti hari ini, manakala sumber dalaman parti itu berkata, ‘beberapa lagi ahli Parlimen’ akan menjadi wakil rakyat bebas.

PETALING JAYA: Dua pemimpin PKR terkejut dengan laporan seorang ahli Parlimen akan meninggalkan parti itu hari ini.

Naib Presiden PKR, Tian Chua ketika dihubungi berkata, beliau tiada maklumat ahli Parlimen mana yang akan keluar parti.

Ketua Wanita PKR, Haniza Mohd Talha yang terkejut dengan laporan itu berkata, ahli Parlimen tegar sudah keluar parti dan laporan berkenaan menunjukkan masih ada wakil rakyat tidak senang dengan tindak-tanduk pucuk pimpinan sehingga menyebabkan mereka hilang kepercayaan.

Oleh itu, Adun Taman Medan itu mengingatkan pucuk pimpinan PKR memperbetulkan parti bagi mengelakkan isu keluar parti berlarutan.

“Kepimpinan perlu muhasabah diri dengan jujur, mengapa keadaan ini berlaku? Mengapa ahli memilih meninggalkan parti yang mereka bina sekian lama?

“Sudah-sudahlah mencari ‘scapegoat’ dalam isu kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan, ia tidak akan dapat mengembalikan kuasa kepada PH.

“Sepatutnya parti bina kekuatan ahli dan terus mara ke depan, jika mahu kekal relevan,” katanya kepada FMT.

Haniza digantung keahlian oleh PKR pada 6 April lalu kerana menghadiri pertemuan dengan bekas timbalan presiden, Azmin Ali dan bekas naib presiden, Zuraida Kamaruddin Februari lalu.

Ditanya jika beliau menjangkakan ada lagi wakil rakyat PKR yang akan keluar parti, Haniza yang juga exco Selangor berkata, semua ahli dan pemimpin sayangkan parti kerana menyedari susah senang dalam perjuangan selama ini.

“Bermula dengan keahlian yang sedikit sehingga hari ini jumlahnya beratus ribu, melebihi setengah juta orang.

“Ahli dan pemimpin sayang pada parti yang mereka sama-sama bina sehingga menjadi parti yang mempunyai wakil rakyat paling ramai dalam PH di Dewan Rakyat.”

Malam tadi, FMT melaporkan seorang ahli Parlimen PKR dipercayai akan mengumumkan keputusan keluar parti hari ini.

Sumber dalaman parti berkata, ahli Parlimen itu tidak menonjolkan diri sejak kerajaan PH tumbang pada Februari lalu.

Katanya, PKR akan menyaksikan “beberapa lagi ahli Parlimen” menjadi wakil rakyat bebas.

Pada 12 Mei lalu, 2 wakil rakyat PKR di Kedah, iaitu Adun Sidam, Robert Ling dan Adun Lunas, Azman Nasrudin meninggalkan parti itu.

Tindakan itu menyebabkan kerajaan negeri PH pimpinan Mukhriz Mahathir tumbang dan beliau meletak jawatan sebagai menteri besar pada 17 mei lalu.

Ia disusuli pengumuman Nurainie Haziqah Shafii melepaskan jawatan ketua Srikandi PKR dan meninggalkan parti itu pada 17 Mei lalu.

Selain jawatan dalam parti, beliau turut meletak jawatan sebagai ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

More from Free Malaysia Today

Free Malaysia Today
Free Malaysia Today
image beaconimage beaconimage beacon