You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Beg plastik beras juga dikecualikan SST

Free Malaysia Today logo Free Malaysia Today 9/9/2018 Bernama
© Provided by FMT MEDIA SDN BHD

ALOR SETAR: Beg plastik yang digunakan pengilang untuk membungkus beras akan turut dikecualikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Ini katanya bagi memastikan pengilang atau penjual dapat mengurangkan kos pembungkusan beras yang merupakan antara barangan yang dikecualikan cukai.

“Ada permintaan daripada pengilang atau penjual untuk ia (bekas plastik) tidak dikenakan cukai, jadi oleh kerana beras memang dikecualikan daripada cukai maka kita juga akan kecualikan bekas plastik beras daripada dikenakan cukai dan kita harap ini akan dapat kurangkan kos mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan taklimat SST kepada lebih 500 peniaga serta wakil persatuan peniaga di sebuah hotel yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T Subromaniam.

Terdahulu ketika sesi soal jawab, ada peniaga membangkitkan isu bekas plastik beras dan mendakwa terpaksa membelanjakan hampir RM1 juta untuk membeli beg itu sahaja, tidak termasuk kos cukai dan harga beras.

Selain itu, Lim berkata kerajaan juga akan mengecualikan caj perkhidmatan pengurusan dan penyenggaraan daripada SST secara sama rata iaitu bagi kediaman berstrata dan tidak berstrata.

Katanya sebelum ini hanya caj perkhidmatan pengurusan kediaman berstrata dikecualikan GST bagi menggalakkan pemilik rumah memohon hak milik strata.

“Kita kena ingat bahawa bukanlah pemilik tidak mahu mohon (hak milik strata) tapi mungkin ada masalah banker, kewangan dan sebagainya, oleh itu kerajaan rasa tidak patutlah perkara ini (mengenakan cukai SST bagi caj perkhidmatan pengurusan bagi pemilik kediaman tidak berstrata),” katanya.

Mengulas mengenai harga kenderaan import setelah pelaksanaan SST, Lim berkata pengecualian cukai hanya diberi kepada syarikat yang melakukan pemasangan semula di negara ini menggunakan input komponen tempatan.

“Untuk menggalakkan mereka menggunakan komponen tempatan, kerajaan beri pengecualian untuk tidak masukkan kos ‘Industrial Linkage Programme’ (ILP), jadi bila ILP dikeluarkan daripada harga bagi tujuan cukai jualan, impaknya kurang berbanding dengan zaman ketika GST dan SST 1.0.

“Sebab itu respons industri automotif amat positif, mereka memberi tindak balas dengan mengurangkan harga kenderaan mereka masing-masing, tetapi hanya ke atas jenama (kenderaan) mereka (yang) ada input tempatan…lagi tinggi bahan input tempatan lagi banyak kurang kos,” katanya.

More from Free Malaysia Today

Free Malaysia Today
Free Malaysia Today
image beaconimage beaconimage beacon