You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Ibu tak tau ‘budak basikal’ lompat tingkap

Free Malaysia Today logo Free Malaysia Today 19/2/2017 Mohamad Fadli
Muhammad-Harith-Iskandar-Abdullah-1 © Provided by MToday News Sdn Bhd Muhammad-Harith-Iskandar-Abdullah-1

JOHOR BAHRU: Tingkap biliknya kecil dan berpalang, tetapi Muhammad Harith Iskandar Abdullah tetap berjaya curi-curi keluar malam, memperdaya ibunya dengan memasang kipas dan mengunci pintu bilik, untuk menyertai geng basikalnya di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, awal pagi semalam.

Dan malangnya, pelajar Sekolah Islam At-Tahfiz Pasir Gudang berusia 14 tahun itu, maut bersama 7 lagi rakannya apabila basikal mereka dirempuh sebuah kereta dari arah belakang dalam kejadian jam 3 pagi semalam.

Ibunya, Hairena Kamisan, 34, yang sarat mengandung terkejut apabila mendapati bilik Harith kosong ketika dia mahu mengejutnya bangun solat Subuh, jam 6 pagi semalam.

“Saya mula nak marah ketika tunggu dia balik. Tetapi bila dengar ada jiran cakap kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam itu, hati saya mula risau, saya memang kuat katakan dia terlibat.

“Apabila pergi ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) pagi itu, dan periksa di bilik mayat memang anak saya sudah meninggal,” katanya menangis saat ketika ditemu bual FMT di rumahnya di Kampung Dato Hajjah Hasnah Ahmad di sini.

Jenazah Harith selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kebun Teh jam 5 petang semalam.

Hairena berkata dia tidak tahu Harith keluar rumah kerana biasanya bila dikejut bangun Subuh, anak sulungnya itu akan membuka pintu bilik.

“Apabila saya buka biliknya dan lihat tingkap bahagian atas sudah terbuka, saya agak dia keluar ikut tingkap kerana biliknya berkunci dan kipas terbuka,” katanya.

Dalam kejadian berhampiran Tanah Perkuburan Mahmoodiah, sebuah kereta merempuh sekumpulan 30 penunggang basikal berumur antara 13 dan 17 tahun yang dipercayai menghalang jalan itu dan sekitarnya.

Hairena berkata beberapa hari lalu, Harith memberitahunya dia tidak akan sempat melihat adiknya yang dijangka dilahirkan bulan ini.

“Saya kata kenapa? Saya pun sudah lewat bersalin sebab bayi belum mahu keluar lagi. Jadi semalam dia pergi dan hari ini saya masuk hospital untuk bersalin.

“Bila saya teringat apa dia cakap, baru saya faham maksud dia tidak dapat lihat adiknya,” katanya.

Beliau berkata Harith ialah anak angkatnya, dipelihara sejak kecil dan oleh sebab bimbang dia terpengaruh dengan rakan sebaya yang tidak elok perangai, Harith dihantar belajar agama di sekolah berasrama.

“Apabila saya beritahu cikgunya yang anak saya meninggal, guru terkejut kerana di sekolah dia seorang yang rajin dan sudah menghafal pelbagai surah seperti Yassin dan Al-Kahfi.

“Harith mungkin mudah terpengaruh, tetapi dia tidak nakal, tak melawan cakap dan tak kurang ajar. Saya akan terasa kehilangannya, apatah lagi dia jenis yang suka mengusik 3 adiknya di rumah,” katanya.

Hairena berkata dia tidak menjangka tindakan Harith seperti itu, mungkin kerana pemikiran anak zaman ini berbeza dari dulu.

“Saya tidak mahu salahkan mana-mana pihak sebab kita dah didik anak kita. Kita tidak boleh agak pemikiran dan pergaulan mereka. Nampak baik depan kita, belakang kita tidak tahu,” katanya.

Sementara itu, rakan sekampung Harith, Abdul Rahman Othamn Ludin, 18, berkata jarak kampungnya ke kawasan kemalangan tidak jauh dan hanya mengambil masa 30 minit dengan menunggang basikal.

“Kali terakhir saya jumpa Harith jam 11 malam Jumaat, dia hanya senyum dan menunjukkan baju Osaka yang dipakainya,” katanya.

Also on MSN:

The Most Dangerous Countries to Travel to

More From Free Malaysia Today

Free Malaysia Today
Free Malaysia Today
image beaconimage beaconimage beacon