You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

'Memang ada beli Mercedes Benz..'

Harian Metro logoHarian Metro 12/9/2018 Nor Fazlina Abdul Rahim
a man wearing a hat © Provided by Media Prima

nfazlina@nstp.com.my

KERAJAAN Kelantan mengakui membeli kereta Mercedes Benz untuk pegawai tinggi kerajaan dengan alasan tahap keselamatan lebih terjamin selain pembelian dilakukan mengikut keperluan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, setakat ini, hanya sebuah kereta dibeli untuk kegunaan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad.

Katanya, kerajaan negeri akan membeli beberapa lagi kereta jenis Mercedes Benz untuk EXCO yang tidak mempunyai kereta selain kereta sedia ada sudah digunakan lebih 10 tahun.

“Kita akui dari segi kewangan Kelantan tidak kaya berbanding negeri lain namun kita membeli kereta Mercedes Benz kerana ia satu keperluan dan kebanyakan kereta sedia ada sudah melebihi tempoh.

:Ada kereta sudah digunakan selama 12 tahun dan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, berlaku pertukaran EXCO dan kebiasaannya setiap kali EXCO berhenti mereka akan meminta untuk membeli kereta berkenaan menyebabkan kita terpaksa membeli yang baharu.

“Dulu pun Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat sendiri pun pakai Mercedes Benz. Kita utamakan keperluan,” katanya selepas mesyuarat EXCO di Kota Bharu, hari ini.

Mohd Amar berkata, jika dibandingkan kereta lain harga mungkin lebih murah namun tahap keselamatan Mercedes Benz adalah lebih baik.

“EXCO banyak berjalan jauh dengan kenderaan dan jarang naik pesawat. Maka perlu kenderaan yang lebih baik untuk keselesaan dan kita tidak mahu sorok perkara ini kerana ia dilakukan mengikut peraturan,” katanya.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa mendakwa kerajaan negeri membeli kereta Mercedes Benz untuk kegunaan pegawai tingginya sedangkan negeri itu berdepan masalah kewangan.

Katanya, negara mengambil pendekatan berjimat namun Kelantan membeli kereta Mercedes Benz sedangkan kereta rasmi pegawai kerajaan adalah Proton Perdana.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Also on MSN:

Stars and their luxury cars

image beaconimage beaconimage beacon