You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Teringin jadi calon Top 5 ABPBH 31

Berita Harian logoBerita Harian 12/9/2018 Oleh Farihad Shalla Mahmud dan Zaidi Mohamad
a person posing for the camera: CALON ABPBH 31, Nabila Razali. - Foto Nurul Shafina Jemenon © Provided by Media Prima CALON ABPBH 31, Nabila Razali. - Foto Nurul Shafina Jemenon

bhonline@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali, mengaku dirinya teringin untuk mara ke peringkat Top 5 Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-31 yang akan mencapai kemuncaknya pada 7 Oktober depan.

Menurut calon kategori Penyanyi Wanita Popular dan Pelakon TV Wanita Popular ini, dia pernah dicalonkan pada peringkat awal anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan berkenaan, namun ketika itu namanya belum begitu dikenali.

“Bagaimanapun kini impak lagu nyanyian saya, Pematah Hati, memang membantu memperkenalkan lagi nama saya dalam arena seni.

“Jadi, ada sekelumit harapan dalam diri agar nama saya turut sangkut dalam senarai calon lima teratas. Apatah lagi ABPBH juga anugerah yang ditunjangi kuasa peminat dan elemen popular. Cuma, saya tidak mahu meletakkan harapan menggunung.

“Jujurnya, berada dalam senarai calon awal sudah membuatkan saya gembira. Kiranya, saya antara yang popular di antara yang popular. Semestinya, kalau mampu mara ke peringkat seterusnya, kegembiraan saya berganda,” katanya sambil mengakui ABPBH adalah anugerah yang terus relevan dan menjadi acara ditunggu-tunggu pengkarya seni.

Kata Nabila, 25, walaupun persaingan dalam kedua-dua kategori sangat sengit, dia percaya pada usaha dijalankan penyokong kuatnya yang digelar sebagai Nabaela FC.

“Kelab peminat saya tidaklah berkempen beriya-iya. Namun, kami ada juga mengadakan perjumpaan bagi mengikuti perkembangan ABPBH 31,” katanya.

Ketika ini, undian secara dalam talian masih dibuka sehingga 25 September ini. Peminat boleh memilih calon kegemaran mereka dalam 13 kategori utama dan lima kategori online di www.abpbh.com.my.

Sementara itu, Nabila memberitahu, dia serik untuk melakukan gimik bagi mempromosikan single terbarunya yang sekali lagi menggunakan khidmat komposer Hael Husaini dan Ezra Kong.

Hanya kerana gimik putus cinta dengan pelakon, Aedy Ashraf, yang digunakannya untuk Pematah Hati, tahun lalu, Nabila akui masih terasa kesannya sehingga ke hari ini.

Biarpun sudah berkali-kali menjelaskan tindakan itu hanyalah untuk mempromosikan lagu, netizen tidak henti-henti mengecamnya. Malah, setiap kali ada penyanyi lain menggunakan gimik serupa atau hampir sama, pasti namanya akan diungkit sekali, seterusnya menimbulkan rasa tidak senang dalam diri gadis ini.

Justeru, kata Nabila, bagi single terbarunya yang bakal dilancarkan bulan depan, tiada sebarang gimik akan dilakukan.

“Saya tahu, ramai menggelarkan saya Ratu Gimik disebabkan ‘kisah percintaan tak kesampaian’ dengan Aedy, tahun lalu. Justeru, untuk lagu baharu nanti, saya tidak mahu buat sebarang gimik. Perkara seperti ini cuma perlu dibuat sekali. Kalau dilakukan berulang kali, ia jadi tak cantik dan orang pun takkan percaya lagi.

“Lagipun, saya mahu mengelak daripada menjadi bahan kecaman netizen. Biarlah keunikan lagu itu sendiri yang menjadi gimik,” kata Nabila yang memilih irama rock sebagai pertaruhannya kali ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

image beaconimage beaconimage beacon