You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Tiada cadangan lantik exco baharu, kata menteri besar Johor

Free Malaysia Today logo Free Malaysia Today 21/4/2017 Bernama

khaled-exco © Provided by MToday News Sdn Bhd khaled-exco JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor tidak bercadang merombak atau melantik anggota mesyuarat kerajaan negeri baharu berikutan peletakan jawatan Datuk Abd Latif Bandi sebagai exco perumahan dan kerajaan tempatan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata portfolio perumahan dan kerajaan tempatan akan terus digalas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Mahkota Datuk Md Jais Sarday seperti yang diumumkan ketika penyusunan semula Anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri, awal Mac lepas.

“Jawatan dan portfolio lain akan kekal sampai pilihan raya umum, tiada cadangan untuk apa-apa rombakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kedai harga patut muafakat Johor cawangan Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang hari ini.

Khaled berkata beliau menerima peletakan jawatan Latif kerana tidak mahu tumpuan Latif yang juga Adun Endau terhadap tugasnya dalam kerajaan negeri terganggu ekoran pertuduhan dan perbicaraan kes yang dihadapi.

Berkuat kuasa 12 Mac lepas, Md Jais dilantik memangku jawatan exco perumahan dan kerajaan tempatan menggantikan Latif bagi memastikan keberkesanan urusan kerajaan negeri.

Portfolio pendidikan dan penerangan yang disandang Jais pula diletakkan di bawah tanggungjawab Datuk Ayub Rahmat yang juga exco kesihatan dan alam sekitar Johor manakala Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Ismail Mohamed pula memikul portfolio keusahawanan dan pembangunan koperasi yang dipegang Jais sebelum ini.

Penyusunan semula semua exco tersebut mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Semalam, Khaled mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Latif sebagai exco perumahan dan kerajaan tempatan.

Latif bercuti daripada jawatannnya sejak 1 Mac lepas, menerusi syarikat guaman Adzly & Co. semalam mengumumkan peletakan jawatannya sebagai exco kerajaan negeri susulan pendakwaan kes rasuah terhadapnya di Mahkamah Sesyen 2 hari lepas.

Sementara itu, mengenai Jawatankuasa Panel Penasihat Perumahan yang ditubuhkan kerajaan Johor bagi mengkaji prosedur berhubung pengagihan rumah dan hartanah di negeri ini, Mohamed Khaled berkata segala perkembangan butiran mengenainya akan diumumkan Jais kelak.

“Jawatankuasa ini sudah pun bermesyuarat tetapi Jais akan beri butirannya apabila tiba masanya termasuk penambahbaikan yang akan dilaksanakan.

“Sudah tentu saranan dan penambahbaikan yang akan dikaji bagi membawa kebaikan kepada rakyat,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan negeri turut menyambut baik cadangan penambahbaikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan kelemahan sistem dan prosedur perumahan Bumiputera Johor dapat diatasi.

Katanya setakat ini semua urusan perumahan termasuk permohonan pembelian rumah di negeri ini berjalan seperti biasa dan kerajaan negeri akan terus memantau projek perumahan mampu milik dan Bumiputera di negeri ini.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata satu kertas cadangan penambahbaikan akan dikemukakan pihaknya kepada kerajaan Johor minggu depan.

Ia berikutan SPRM mengenal pasti beberapa kelemahan dalam sistem dan prosedur perumahan Bumiputera Johor, yang dipercayai berlakunya gejala rasuah dan salah guna kuasa baru-baru ini.

More From Free Malaysia Today

Free Malaysia Today
Free Malaysia Today
image beaconimage beaconimage beacon