You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Siti buka mata Soo Wincci

Harian Metro logoHarian Metro 12/8/2017 Ardini Sophia Sina

hellinie@hmetro.com.my

Penyanyi dan pelakon Dr Soo Wincci, 32, tidak pernah berhenti mengejar impiannya. Berjaya mendapat ijazah Doktor Falsafah, dia kini gigih menembusi pasaran seni di China dan seterusnya Hollywood.

Baginya, setiap angan-angan disertai dengan pengorbanan yang besar. Sebab itulah sehingga hari ini Wincci yang juga model dan bekas ratu cantik, belum berumah tangga lagi.

Mula menceburi dunia lakonan melalui sitkom Mr Siao Mandarin Class pada 2008 dan kemudian menghasilkan album pada 2009. Apabila bercakap mengenai artis idola dan dikagumi, Wincci akui dia sangat meminati penyanyi terkemuka tanah air, Datuk Siti Nurhaliza.

Bukan hanya vokal Siti dikagumi, malah Wincci tertarik dengan sikap penyanyi tersohor itu hingga akui memberi jutaan impak positif pada dirinya.

“Bukan hanya bidang seni, kejayaan dalam perniagaan juga membuka mata saya untuk mencuba semua bidang selagi kudrat masih ada.

“Kejayaan Siti jadi inspirasi untuk saya terus mencuba dalam pelbagai cabang seni dan bidang selain nyanyian dan lakonan,” katanya.

Bagi Wincci, Siti tidak hanya disegani di Malaysia, malah di negara asing. Dia kagum kerana Siti pernah mengadakan persembahan di Royal Albert Hall, London.

“Perniagaannya juga makin berkembang. Semua itu memberikan saya semangat supaya terus mengejar impian dan tidak berputus asa. Saya yakin Siti juga melalui banyak memori pahit sebelum berada di puncak kejayaan seperti sekarang,” katanya.

Terus memuji penyanyi lagu Cindai itu, Wincci kagum dengan sikap merendah diri Siti. Walaupun namanya terkenal, dia tetap melayan semua orang sama rata.

Kata Wincci, dengan sikap seperti itu, tidak hairanlah dia menjadi kesayangan ramai.

“Saya kagum dan ingin menjadi sepertinya. Mungkin saya tidak boleh menjadi sebaik Siti tetapi tiada salahnya untuk mencontohi sikapnya.

“Sepanjang bergelar selebriti, saya rasa tidak pernah timbul kontroversi berkaitan dengan sikapnya. Kalau ada gosip pun cuma sikit-sikit dan bukanlah terlalu teruk sehingga menjejaskan kerjayanya.

“Dia juga seorang yang bijak menangani khabar angin. Dia tidak membuat keputusan terburu-buru dan tindakan yang diambil menunjukkan dirinya sangat matang.

“Dalam apa jua keadaan, Siti selalu tersenyum dan melayan peminat sebaik mungkin. Kalau tidak dapat memenuhi permintaan mereka, dia dengan rendah diri akan meminta maaf. Tutur katanya juga lemah lembut,” katanya.

Dalam puluhan lagu popular Siti, Wincci sangat menggemari lagu Bukan Cinta Biasa hingga setiap kali berkaraoke, dia akan memilih lagu itu untuk dinyanyikan.

Katanya, sejak kali pertama mendengar lagu itu dia terus menyukainya kerana lirik dan alunan lagu itu benar-benar unik.

“Bukan hanya lirik, malah melodinya juga cukup membuai perasaan. Ia menggambarkan perasaan cinta yang tidak ada tolok bandingnya. Emosi yang ingin disampaikan menerusi lagu itu terkena tepat pada hati saya.

SERAP pelbagai nilai positif inspirasi kejayaan dalam karier seni dan perniagaan. © Provided by Media Prima SERAP pelbagai nilai positif inspirasi kejayaan dalam karier seni dan perniagaan.

“Saya akui vokal saya biasa-biasa saja tetapi saya tetap mahu menyanyikan lagu itu kerana saya mahu terus melatih diri dengan sebutan bahasa Melayu.

“Siti adalah penyanyi yang mempengaruhi saya untuk menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu. Saya tidak akan pernah berhenti untuk terus menghasilkan single bahasa Melayu,” katanya.

Mempertaruhkan filem terbaru lakonannya, Kau Yang Satu yang kini ditayangkan di pawagam, Wincci memegang watak Isabella iaitu wanita penggoda dan penuh dendam jauh berbeza dengan dirinya yang sebenar.

Tegas Wincci, watak dalam filem itu bukanlah menunjukkan dirinya yang sebenar sebaliknya sekadar lakonan. Di dunia realiti dia masih lagi Wincci yang sama seperti dikenali ramai.

Selain berlakon, wanita tinggi lampai itu juga sibuk merakamkan album untuk pasaran China. Dia masih berulang-alik di antara Malaysia dan Taiwan untuk terus mengembangkan kerjaya di sana.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Also on MSN:

Celebrities who admitted to having cosmetic surgery

Celebrities who admitted to having cosmetic surgery

image beaconimage beaconimage beacon