You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Video lelaki Melayu suap warga emas India sentuh hati netizen

Free Malaysia Today logo Free Malaysia Today 17/2/2017 FMT Reporters
suap © Provided by MToday News Sdn Bhd suap

PETALING JAYA: Dalam suasana ketegangan kaum dan agama, masih ada rakyat yang lebih memahami erti belas kasihan dan kasih sayang tanpa mengenal warna kulit, untuk direnung pemimpin politik negara yang sering bertelagah.

Dalam video berdurasi 2.53 minit, seorang lelaki Melayu dilihat menyuap makanan kepada warga emas berbangsa India dengan tangan, satu perbuatan murni yang hanya dilakukan ibu kepada anaknya atau bagi yang menjadi orang sakit.

Video ini diambil di sebuah medan selera dan dimuat naik Tamil Media Malaysia di laman rasmi Facebook mereka pada 15 Februari lalu, bersama kapsyen bertulis: “Hormat abang Melayu !!! Inilah namanya manusia prihatin tanpa kira agama dan bangsa…”

Dalam video itu, seorang lelaki Melayu dilihat memegang pinggan berisi makanan dan menyuapnya ke mulut seorang lelaki India kurus yang duduk di sisinya.

Daripada video itu, lelaki India berbaju T-shirt, berseluar pendek dan berkaki ayam itu kelihatan seperti gelandangan, bagaimanapun ia tidak dapat dipastikan.

Selepas disuap beberapa kali, warga emas itu menyuruh lelaki itu berhenti dan enggan meneruskannya. Mungkin kerana segan atau tidak mahu dilihat gelojoh.

Bagaimanapun, apabila lelaki Melayu itu menggesa meneruskan suapan, lelaki tua itu menerimanya sebelum meneguk minuman.

Mungkin menyedari lelaki tua itu berasa segan, lelaki Melayu itu secara bergurau menjemput beberapa individu berhampiran berhenti untuk disuapkan makanan.

Selepas jemputannya tidak mendapat respons, dia meneruskan menyuap makanan kepada lelaki tua itu.

“Makan … makan … awak dah makan belum? Ini ada udang, sedap ni,” katanya sambil menggaul udang bersama nasi.

Bagaimanapun, lelaki India itu bertindak berdiri dan memberi isyarat tidak mahu lagi makan dan meninggalkan meja.

Lokasi medan selera dan juga nama mereka yang terlibat tidak diketahui. Tarikh sebenar video itu direkodkan juga tidak jelas.

Yang pasti, tindakan murni lelaki Melayu itu berjaya menyentuh hati pengguna Facebook dengan kebanyakannya memberikan komen memberangsangkan selepas menyaksikan video itu.

Nur Rina Johari berkata, “Sukar untuk mencari seseorang seperti ini … contoh dan teladan yang baik untuk kanak-kanak kita,” manakala Kanna Kannan berkata, “Sekarang Yu Hero bagi saya saudara. .. Malaysia kini terdapat banyak isu perkauman. .. Anda adalah contoh bagi semua rakyat Malaysia … Kemanusiaan … ”

Nathan Shunmugiah juga meninggalkan komen positif dan berkata: “Dia adalah seorang manusia sebenar, menjangkaui bangsa dan agama, dia melihat kemanusiaan…Biar Yang Maha Kuasa memberkati anda dan keluarga anda. Perbuatan baik anda akan memakmuri seluruh generasi.”

Video ini dikongsi lebih 3,400 kali.

More From Free Malaysia Today

Free Malaysia Today
Free Malaysia Today
image beaconimage beaconimage beacon