You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Allahyarham Raja Zainudin sempat jamah pulut panggang bersama isteri

Harian Metro logo Harian Metro 13/8/2022 Baharom Bakar
ANGGOTA APMM mengangkat mayat © Provided by Harian Metro ANGGOTA APMM mengangkat mayat am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Mangsa keempat tragedi bot karam di perairan Pulau Redang, Isnin lalu, sempat menjamah pulut panggang yang disediakan isterinya sebelum turun ke laut.

Allahyarham Raja Zainudin Raja Ibrahim, 49, dari Kampung Merancang, Bachok, Kelantan, sempat makan beberapa biji pulut panggang sebaik pulang menunaikan solat Isyak di surau sebelum turun ke laut bersama enam rakannya, jam 9.30 malam Ahad lalu.

Isteri mangsa, Rosainy Mohd Zin, 47, berkata, arwah suami turut meminta kebenaran membawa 20 biji pulut panggang untuk dimakan bersama lima rakannya ketika berada di bot.

Katanya, arwah suami kerap ke laut seorang diri dengan menggunakan bot gentian kaca tetapi pada hari kejadian dia memaklumkan untuk keluar dengan bot lebih besar bersama lima rakan.

"Selepas balik dari surau, saya dan arwah sempat berbual dan dia minta 20 biji pulut panggang yang saya buat untuk dibawa ke laut dan makan bersama lima rakannya.

"Saya membuat dan menjual pulut panggang, tetapi pada hari kejadian makanan kegemaran arwah suami ada berbaki dalam 34 biji dan saya meminta dia membawa semuanya," katanya ketika ditemui selepas membuat pengecaman mayat di bilik forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) hari ini.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa bersama lima rakannya hilang selepas bot dinaikinya karam dipukul ribut ketika berhenti untuk menunaikan solat kira-kira jam 10 malam.

Mayat tiga rakan mangsa iaitu Saludin Ismail, 50, Ahmad Nazri Ishak, 48, dan Zulkifli Umar, 48, berjaya ditemukan manakala seorang lagi mangsa iaitu Muhammad Kamaruddin Yudi, 31, selamat.

Mayat Raja Zainudin ditemui terapung oleh nelayan tempatan dan ahli keluarganya yang melakukan pencarian pada kedudukan 9.4 batu nautika ke utara perairan Pulau Redang, jam 11.30 pagi tadi.

Rosainy berkata, tiada sebarang perubahan berlaku kepada arwah suami sebelum turun ke laut.

"Arwah cuma minta untuk makan pulut panggang bersama saya ketika berehat sebelum turun ke jeti Semerak, Pasir Putih, jam 9.30 malam menaiki bot untuk memancing serta memasang bubu," katanya.

Rosainy berkata, sejak kehilangan suaminya, seluruh ahli keluarga dan penduduk kampung mengadakan solat hajat di tepi pantai Semerak memohon agar pencarian dipermudahkan.

"Selain mendoakan agar pencarian arwah suami, kami juga turut mengadakan solat hajat memohon permudahkan pencarian rakan arwah, Ahmad Zamri Ishak, 66," katanya.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata, identiti mangsa disahkan selepas proses pengecaman dilakukan Rosainy dan adik beradik arwah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More From Harian Metro

image beaconimage beaconimage beacon