You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Bagaimana hak kami selepas ubah status ke ‘wilayah’, tanya pemimpin Sabah

Free Malaysia Today logo Free Malaysia Today 14/4/2021 Durie Rainer Fong
Abdul Rahman Dahlan wearing a suit and tie: (Dari kiri) Darell Leiking, Abdul Rahman Dahlan, Chan Foong Hin dan Christina Liew berkata, ‘perubahan sebenar’ mestilah berlaku bagi mencerminkan semangat perjanjian MA63. © Provided by Free Malaysia Today (Dari kiri) Darell Leiking, Abdul Rahman Dahlan, Chan Foong Hin dan Christina Liew berkata, ‘perubahan sebenar’ mestilah berlaku bagi mencerminkan semangat perjanjian MA63.

KOTA KINABALU: Beberapa ahli politik Sabah mahu tahu sama ada perubahan status Sabah dan Sarawak daripada “negeri” kepada “wilayah” sekadar pada nama atau ia menandakan perubahan sebenar.

Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking berkata, sebarang perubahan pada status Sabah dan Sarawak perlu dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

Ahli Parlimen Penampang itu berkata, mengubah status tanpa mengembalikan hak dua negeri itu, seperti termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tiada gunanya.

Katanya, Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak, malah dari semenanjung perlu diberi peluang menyuarakan pendapat mereka mengenai isu itu dan mencapai kata sepakat berhubung status berkenaan, serta paling penting ialah apa yang dihutang kepada dua negeri itu.

“Kerana ini berkaitan perubahan yang membentuk persekutuan – apabila kita mahu membentuk semula, menamakan semula dan mengubah konteks persekutuan – ini perlu dibawa ke Parlimen,” katanya kepada FMT.

“Perubahan nama adalah bagus, tetapi ia tidak baik jika tidak dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan. Apa yang penting ialah kandungan MA63, dengan 17 (daripada 21) perkara diselesaikan ketika pemerintahan Pakatan Harapan.”

Leiking mengulas mesej tular mengenai perubahan status Sabah dan Sarawak kepada “wilayah”. Sebuah jabatan kerajaan di Labuan memuat naik maklumat itu di media sosialnya berhubung perubahan yang dikatakan itu, tetapi catatan itu kemudiannya ditarik balik.

Terdahulu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada 2 April lalu berkata, Sabah dan Sarawak mempunyai status sama seperti Semenanjung, sebagai wilayah dalam Persekutuan Malaysia.

Difahamkan, sebahagian agensi kerajaan memberitahu kakitangan mereka secara dalaman untuk menggunakan istilah wilayah berbanding negeri dalam komunikasi mereka apabila merujuk kedua-dua negeri itu mulai sekarang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan berkata, rakyat Sabah hanya akan menerima perubahan istilah itu sekiranya ia turut mencerminkan perubahan dalam dasar kerajaan persekutuan terhadap Sabah.

“Jika tidak, ia hanyalah perubahan berbentuk kosmetik yang tidak menguntungkan rakyat Sabah,” tulisnya di Facebook.

Sementara itu, Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin mengingatkan kerajaan PH cuba mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam persekutuan Malaysia melalui Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019, tetapi gagal diluluskan.

“Apa yang penting bukan nama, tetapi isi kandungan (MA63),” kata Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu.

Ketua PKR Sabah, Christina Liew turut bertanya sama ada Sabah dan Sarawak kini ialah rakan kongsi setara semenanjung seperti dijangkakan dalam MA63.

“Rakyat ada hak untuk tahu implikasi atau akibat boleh dijangka daripada perubahan itu,” kata Ahli Parlimen Tawau itu.

More from Free Malaysia Today

Free Malaysia Today
Free Malaysia Today
image beaconimage beaconimage beacon