You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Balu Sarjan Baharuddin terima sumbangan Yang di-Pertuan Agong

Harian Metro logo Harian Metro 25/11/2020 Abnor Hamizam Abd Manap
a group of people standing in front of a crowd: YAHAYA menyampaikan watikah takziah kepada balu mendiang Sarjan Baharuddin ketika menziarahi keluarga berkenaan di Kampung Orang Asli Sungai Sampo. FOTO ihsan polis © Provided by Harian Metro YAHAYA menyampaikan watikah takziah kepada balu mendiang Sarjan Baharuddin ketika menziarahi keluarga berkenaan di Kampung Orang Asli Sungai Sampo. FOTO ihsan polis am@hmetro.com.my

Jempol: Kematian mendiang Sarjan Baharuddin Ramli, 54, dalam kejadian tembakan di sempadan Malaysia-Thailand semalam mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Berikutan itu, juruiring baginda, Datuk Yahaya Othman hadir menyampaikan sumbangan kepada balu mendiang, Relow Ko di rumah bapa mendiang di Kampung Orang Asli Sungai Sampo, dekat sini, petang tadi.

Pada majlis itu, Yahaya menyampaikan watikah ucapan takziah kepada keluarga mendiang selain menyerahkan sumbangan wang tunai RM5,000 kepada balu mendiang.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook; Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin dan Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor.

Sementara itu, Relow berkata, dia terharu dengan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap musibah yang berlaku kepada keluarganya.

Katanya, dia tidak menyangka Al-Sultan Abdullah menghantar juruiring baginda bagi menyampaikan sumbangan dan watikah ucapan takziah.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Baharuddin.

Menurut kenyataan dimuat naik menerusi Facebook (FB) Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih atas pemergian Baharuddin dan berharap seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana pilu itu.

"Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan yang besar buat Pasukan Gerakan Am dan negara," demikian menurut kenyataan itu.

Mendiang Baharuddin maut selepas terkena dua das tembakan pada dada dan perut manakala seorang lagi anggota PGA, Sarjan Norihan Tari, 39, parah terkena tembakan pada kanan perut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More From Harian Metro

image beaconimage beaconimage beacon