You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Budak tumbuk mata buaya elak dibaham

Harian Metro logo Harian Metro 22/4/2020 Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my

TINDAKAN nekad seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun menumbuk mata buaya berjaya menyelamatkannya daripada dibaham reptilia ganas itu di di Sungai Imam, Kampung Bombalai, Tawau, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu mangsa turun ke sungai mahu mengalihkan perahu digunakan bapa saudaranya untuk menangkap ikan.

Bagaimanapun, mangsa tiba-tiba ditarik ke dalam sungai oleh buaya sebaik berada di dalam air.

Mangsa bergelut dan sedaya-upaya cuba melepaskan diri selain bertindak menumbuk badan dan mata buaya itu.

Reptilia itu melepaskan gigitannya sebelum kanak-kanak terbabit diselamatkan ahli keluarganya yang berada di lokasi.

Menurut seorang daripada keluarga mangsa yang mahu dikenali sebagai Din, 34, berkata sebaik mengetahui kejadian itu dia bergegas membawa mangsa ke Hospital Tawau.

“Akibat gigitan buaya itu, paha kanannya terkoyak. Mangsa berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan lanjut di hospital,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau, Sailun Aris ketika dihubungi, mengesahkan insiden berkenaan.

“Berikutan kejadian itu, kita gerakkan sepasukan pegawai dan anggota ke lokasi kejadian pagi ini untuk meninjau sebelum memasang perangkap.

“Kes ini adalah yang pertama kali membabitkan serangan buaya ke atas penduduk di kawasan ini walaupun sebelum ini pernah menerima aduan kehadiran haiwan berkenaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More From Harian Metro

image beaconimage beaconimage beacon