You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

‘Doa saya termakbul’, bekas siswi UiTM lapang dada pensyarah ’lucah’ dipecat

Free Malaysia Today logo Free Malaysia Today 30/9/2022 Zeanaaima Mohd Yusof
Tangkap layar catatan Farah Azuin Abdul Razak di Twitter mengenai dakwaan diganggu secara seksual oleh pensyarahnya. (Gambar Twitter) © Provided by Free Malaysia Today Tangkap layar catatan Farah Azuin Abdul Razak di Twitter mengenai dakwaan diganggu secara seksual oleh pensyarahnya. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: “Akhirnya doa saya termakbul”. Itulah reaksi bekas siswazah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Farah Azuin Abdul Razak, 23, selepas diberitakan pensyarah yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadapnya, dipecat serta-merta.

Semalam, FMT melaporkan kekecewaan Farah, pelajar jurusan diploma pengurusan dan perniagaan di UiTM Segamat bersabit laporan gangguan seksual yang dibuatnya lebih setahun, berdepan jalan buntu.

Namun lewat petang semalam, pentadbiran UiTM di kampus induknya di Shah Alam mengeluarkan kenyataan menamatkan serta-merta perkhidmatan pensyarah terbabit.

“Saya gembira syukur sangat. Akhirnya doa saya terjawab…bukan doa saya seorang (tapi) doa dari mangsa mangsa lain. Syukur sangat,” beritahunya kepada FMT.

Replay Video

Dalam kenyataan tersebut UiTM memaklumkan, mereka mengambil serius mengenai dakwaan gangguan seksual oleh pensyarah itu dan telah melakukan siasatan mengikut garis panduan serta proses perundangan yang termaktub dalam Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605].

Farah yang baru sahaja melangsungkan pertunangan dengan jejaka pilihannya turut menasihatkan semua mangsa gangguan seksual untuk lebih berani dan tampil menegakkan keadilan.

“Jangan takut untuk bawa benda tu ke hadapan. Jangan risau, jangan takut, ada ramai orang yang akan sokong dan bantu. Jangan pernah fikir akan (anda akan berjuang) sorang-sorang. Dalam ramai yang mengecam, ramai jugak yang ada hulur tangan untuk membantu,” beritahunya.

Farah sebelum ini mendedahkan perlakuan pensyarah itu dengan memuat naik soalan berunsur lucah yang diberi beliau di laman Twitternya. Menurut Farah selain diminta menjawab soalan berkenaan, pensyarah itu turut bercakap secara tidak senonoh kepadanya.

Farah membuat laporan di Balai Polis Tangkak pada 2 Jun 2021 dan beliau turut menyerahkan bukti rakaman perbualan telefon dengan pensyarah itu.

Bagaimanapun tidak ada tindakan undang-undang diambil sehingga kini.

Polis Tangkak memberitahu FMT hari ini, hasil siasatan kes itu sudah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor untuk tindakan lanjut.

Menurut Farah, pensyarah berkenaan menghantar notis mengambil tindakan saman malu terhadapnya pada 6 September lepas.

Tindakan saman itu dilakukan untuk “menakutkannya” selepas menolak tawaran wang penyelesaian RM20,000 untuk menutup kes.

Farah berharap semua pihak harus mengambil iktibar daripada pengalamannya dan mangsa-mangsa gangguan seksual lain.

“Saya harap apa yang jadi hari ini sebagai pengajaran untuk semua. Baik pelajar ataupun pendidik. Kami pelajar letakkan kepercayaan pada pensyarah untuk mengajar dan melindungi kami.

“Jangan hancurkan kepercayaan kami dan buat kami fikir institut pendidikan juga tidak selamat,” tegas Farah.

More from Free Malaysia Today

Free Malaysia Today
Free Malaysia Today
image beaconimage beaconimage beacon