You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Dr M dan gabungan terbaharunya

Free Malaysia Today logo Free Malaysia Today 1 day ago Mohsin Abdullah
© Provided by Free Malaysia Today

“Kita bebas untuk menubuhkan berapa banyak parti pun. Kalau kita tubuh 100 parti, itu cukup baik kerana orang Melayu akan dibahagikan kepada 100. Dan kita tiada satu parti Melayu yang besar. Sebab itu saya galakkan banyak penubuhan parti Melayu.

“Negara kita majoriti 60% Melayu. Kalau berpecah empat tidak mengapa juga, ini berpecah sampai 100.”

Itu kata-kata Dr Mahathir Mohamad yang dilaporkan media pada 28 Mei 2019. Itu reaksi “sarcastic” atau sinis beliau terhadap sebuah lagi parti politik Melayu yang baharu ditubuh ketika itu, iaitu Parti Bumiputera Perkasa Malaysia atau Putra.

Amat menarik kerana tiga tahun kemudian atau lebih tepat pada 4 Ogos 2022, Mahathir mengumumkan penubuhan gabungan politik Melayu yang dipengerusikannya, dengan Putra ada di dalam gabungan itu.

Selain Putra, gabungan yang dinamakan Gerakan Tanah Air atau GTA turut dianggotai Pejuang (tentunya kerana ini parti Mahathir sendiri), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia atau Berjasa dan Iman yang nama penuhnya Parti Perikatan India Muslim Nasional. Menarik juga kerana gabungan parti politik Melayu dianggotai parti India Muslim.

Apa pun, mungkin boleh disimpulkan langkah Mahathir menubuhkan sebuah gabungan “politik Melayu” kerana “kita tiada satu parti Melayu yang besar” (akibat banyak parti Melayu ditubuhkan) seperti yang dikatakan beliau tiga tahun lalu.

Lantas, beliau menggabungkan parti-parti politik Melayu yang kecil bersama parti India Muslim (yang juga kecil) untuk dijadikan GTA yang “besar” untuk mengambil kekosongan sebuah parti Melayu yang besar.

Perlu diingat, semasa menjadi pengerusi Bersatu dahulu, Mahathir mempelawa “semua” parti Melayu menyertai partinya dalam usaha menjadikan Bersatu sebuah parti Melayu yang besar.

Beliau juga menggorak langkah untuk membawa Umno ke dalam Bersatu, tetapi katanya “tanpa penyangak dalam Umno”.

Gabungan terbaharunya mempunyai ciri-ciri Umno kerana ramai ahli Putra pimpinan Ibrahim Ali pernah menjadi ahli Umno. Elemen Bersatu juga ada kerana Pejuang asalnya Bersatu yang diasaskan Mahathir pada 2016, manakala “DNA” PAS wujud dalam bentuk Berjasa yang merupakan parti serpihan PAS.

Menubuhkan gabungan politik bukan sesuatu yang pelik mahupun aneh di Malaysia. Dalam konteks “eksklusif untuk parti Melayu Islam” pernah ditubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah pada 1990. Dianggotai Parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah, PAS, Berjasa, Parti Hizbul Muslimin Malaysia atau Hamim serta Kongres India Muslim Malaysia atau Kimma. Jelas ahli semua parti itu beragama Islam.

Bagaimanapun, Tengku Razaleigh turut menggabungkan parti politik berbilang agama dan bangsa juga pada 1990. Ia dinamakan Gagasan Rakyat yang dianggotai DAP, Parti Bersatu Sabah, Parti Rakyat Malaysia serta Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), dikepalai Semangat 46, parti Tengku Razaleigh.

Gagasan Rakyat bekerjasama dengan Angkatan Perpaduan Ummah untuk menentang Umno/Barisan Nasional (BN) pimpinan Mahathir pada pilihan raya umum 1990. Menariknya, Semangat 46 duduk dalam kedua-dua gabungan.

Satu parti duduk dalam dua gabungan juga kerap diamalkan PAS. Ia pernah terajui gabungan yang dipanggil Gagasan Sejahtera atau Gagasan yang turut dianggotai Parti Ikatan Bangsa Malaysia (yang majoriti ahlinya orang Melayu) diketuai bekas pemimpin Umno, Kadir Sheikh Fadzir.

Dan pada masa sama, bermesra dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai 2019. Status MN kini masih kabur. Gagasan Sejahtera dibubarkan pada 2020. (PAS juga mahu duduk dalam Perikatan Nasional (PN) dan MN sekali gus).

Kembali kepada GTA yang ditubuhkan Mahathir tempoh hari bertujuan “memperjuangkan kaum Melayu untuk mempertahankan Malaysia”.

Adakah Mahathir akan mempelawa semua parti politik Melayu (seperti yang dilaungkan ketika memimpin Bersatu) menyertai GTA? Termasuk mempelawa Bersatu dan PAS supaya GTA menjadi entiti Melayu gergasi?

Adakah Mahathir menjangka orang Melayu yang menyokong Bersatu dan PAS akan memberi “tekanan” kepada parti mereka untuk menyokong gerakan pimpinannya “demi memperjuangkan nasib bangsa dan agama”?

Tetapi, pelawaan Mahathir ( jika dibuat) tidak ditujukan kepada Umno. Ini jelas kerana menurutnya, GTA akan bertanding di kerusi majoriti Melayu, khususnya kawasan tradisi Umno.

“Kita jemput orang Melayu sahaja bukan kerana kita perkauman, tetapi kerana usaha kita untuk lawan parti Melayu yang telah menyeleweng, iaitu Umno. Sebab itu kita buat parti Melayu untuk menentang parti Melayu,” katanya dipetik media.

Penganalisis politik, Ahmad Fauzi Abdul Hamid memberitahu FMT, beliau “tidak melihat cubaan Mahathir ini sebagai cara halus memecahkan perpaduan orang Melayu atau apa-apa”.

Sebaliknya, menurut Fauzi, langkah bekas perdana menteri itu satu “helah” atau alasan untuk kekal aktif dan dihormati pada usia senjanya.

Pun begitu, Mahathir mengumumkan gerakannya akan bertanding 120 daripada 222 kerusi Parlimen pada PRU15 kelak.

Oleh kerana ramai penganalisis dan pemerhati politik percaya tidak akan ada gabungan yang boleh memenangi PRU15 secara mutlak, adakah Mahathir mahu GTA menjadi faktor penentu untuk melengkapkan usaha menubuhkan kerajaan? Dalam perkataan lain, GTA menjadi “king maker”?

Imbas kembali 27 Julai 2022. Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 di Parlimen, Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi melontar pendapat, lompat parti walaupun tidak digalakkan, perlu dibenarkan selepas PRU untuk membolehkan kerajaan persekutuan dibentuk.

Katanya, jika tiada parti yang mampu memperolehi jumlah kerusi minimum 112 di Parlimen, lompat parti selepas PRU boleh memastikan kestabilan politik negara.

Adakah itu pembayang maksud di sebalik penubuhan atau matlamat GTA?

Akan tetapi, jika “king maker” menjadi hasratnya ,GTA terlebih dahulu perlu memenangi kerusi yang ditandinginya. Bolehkah mereka lakukannya?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

More from Free Malaysia Today

Free Malaysia Today
Free Malaysia Today
image beaconimage beaconimage beacon