You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Gabungan 13 NGO minta parti politik berhenti bercakaran

Berita Harian logo Berita Harian 2/8/2021 Fahmy A Rosli dan Illah Hafiz Aziz
graphical user interface, text © Provided by Berita Harian bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Gabungan 13 badan bukan kerajaan (NGO) menyeru semua parti politik daripada kerajaan, pembangkang dan bebas supaya berhenti bercakaran sesama sendiri, sebaliknya bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memulihkan negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Koordinator gabungan itu, Ahmad Yazid Othman, berkata sikap parti dan pemimpinnya yang sering bercakaran sesama sendiri

hanya mengganggu proses pemulihan pandemik dan ekonomi negara.

"Selagi mereka terus bercakaran dan melemparkan cemuhan serta kata nista antara satu sama lain, selagi itulah permasalahan COVID-19 tidak akan selesai.

"Rakyat juga kini rata-rata hilang kepercayaan terhadap institusi Parlimen dan kuasa eksekutif Jemaah Menteri. Ini perlu dipulihkan segera supaya rakyat melihat kesungguhan dan kerjasama dalam membendung pandemik ini secara kolektif," katanya dalam kenyataan, semalam. Beliau berkata, gabungan itu bimbang krisis politik dan kepimpinan akan terus berpanjangan selagi penyelesaian segera dan tegas tidak dilaksanakan. "Kami bimbang kedudukan ekonomi negara akan semakin merudum, rakyat akan terus kelaparan apabila semakin ramai hilang pendapatan dan kematian akan meningkat.

"Selagi belum ada penyelesaian yang tuntas, kemelut ekonomi negara tidak akan dapat keutamaan, sektor perniagaan akan hancur musnah dan rakyatlah yang akan menderita, hilang mata pencarian dan orang tersayang," katanya.

Tiga belas NGO dalam gabungan itu adalah Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Amal Sejagat Malaysia, Himpunan Anak Kedah SeMalaysia (HaKEM).

Selain itu, Gabungan Demi Melayu, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM), Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Pertubuhan Pembangunan dan Inovasi Wanita (WADI Malaysia), PAKAR Malaysia, Pertubuhan Sinar Rahmah dan MyVoice Malaysia.

Ahmad Yazid berkata, gabungan itu dukacita terhadap perkembangan politik negara yang bukan sahaja membabitkan parti politik tetapi juga Istana Negara.

Katanya, dalam keadaan ekonomi dan pandemik COVID-19 yang semakin menular, ini bukanlah satu perkara yang diperlukan rakyat sekarang.

"Kenyataan media Istana Negara terhadap tindakan kerajaan memansuhkan Ordinan Darurat sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong serta kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri memberikan perspektif hubungan kurang harmoni antara kerajaan dan istana," katanya.

Beliau berkata, keputusan yang mengheret Istana Negara untuk campur tangan pertama kali dalam sejarah membayangkan kerajaan perlu telus dalam membuat keputusan, terutama dalam keadaan ekonomi dan kesihatan rakyat yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Gabungan NGO terbabit turut mendesak kerajaan mengusulkan beberapa cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong, termasuk menyambung tempoh darurat ke satu tarikh dianggap munasabah bertujuan menstabilkan suhu politik dan mengawal penularan COVID-19.

"Kami juga mahu Majlis Gerakan Negara Pandemik diwujudkan bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong menentu dan memilih tokoh dirasakan sesuai untuk menganggotainya, selain mencadangkan penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

"Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu diadakan sebaik saja tugas MAGERAN tamat, seiring berakhirnya tempoh sah Parlimen pada Mei 2023 atau lebih awal lagi, bagi membolehkan hak memilih kerajaan diserahkan kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Pertubuhan Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI) juga mahu kemelut politik negara yang menggusarkan ramai pihak ditangani secara berhemah dan diakhiri secepat mungkin.

ISLAMI berpandangan situasi ketika ini membantutkan usaha ke arah pemulihan negara.

Justeru, ISLAMI berharap semua pihak mengutamakan perkara lebih mustahak terlebih dulu demi manfaat rakyat sejagat.

"Kemelut politik dan krisis Perlembagaan yang sedang berlaku dalam keadaan negara masih bergelut dengan musibah COVID-19 dan kesuraman iklim ekonomi, amat menggusarkan kami.

"Demi kesejahteraan rakyat dan negara, kemelut ini perlu diselesaikan secara berhemah dan ditamatkan seberapa segera yang boleh.

"Ini kerana, sengketa politik dan krisis Perlembagaan yang berpanjangan akan hanya merencatkan usaha pemulihan negara serta menambahkan lagi tekanan kepada rakyat.

"ISLAMI ingin meminta seluruh rakyat Malaysia terus berpegang teguh kepada prinsip terkandung dalam Rukun Negara," katanya dalam kenyataan, semalam.

ISLAMI juga mahu setiap orang menjalankan tanggungjawab bermasyarakat, termasuk pemimpin dan rakyat dengan mengutamakan usaha menolak mudarat yang lebih besar demi memperoleh manfaat yang lebih umum.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More From Berita Harian

image beaconimage beaconimage beacon