Gaduh kerana pokok timun, warga Bangladesh maut dibelasah
PETALING JAYA: Warga Bangladesh maut dipercayai dibelasah kerana mempertahankan pokok timun dalam pergaduhan dengan sekumpulan pekerja kilang warga asing, di sebuah asrama pekerja, di Kluang, Khamis lalu.
Ketua Polis Kluang, Bahrin Md Noh, berkata mangsa, Md Rubel Howlader, 31, bekerja sebagai operator pengeluaran disahkan meninggal dunia pada 1.56 tengah hari semalam, selepas dua hari menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).
Katanya, susulan itu, polis menangkap lima lelaki warga Myanmar berusia antara 21 hingga 41 tahun dan lima lelaki warga Bangladesh berusia 30 hingga 40 tahun disyaki terbabit dalam pergaduhan berkenaan.
Menurutnya, polis juga merampas sebilah parang dengan hulu berwarna merah sepanjang 0.6 meter dan dua batang paip besi sepanjang 0.9m.
“Tempat kejadian adalah asrama pekerja kilang yang menempatkan dua blok asrama diduduki oleh pekerja Bangladesh, Myanmar dan Nepal.
“Kejadian berlaku di hadapan bilik asrama di blok pertama dan pergaduhan berpunca kerana pokok timun yang ditanam oleh mangsa dirosakkan suspek warga Myanmar.
“Mangsa bersama rakan-rakannya iaitu warga Bangladesh bertanyakan kepada suspek mengenai pokok yang dipotong sebelum berlaku pergaduhan antara mereka.
“Petang hari yang sama, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kritikal dirujuk ke HEBHK,” lapor Harian Metro.
Katanya, kertas siasatan yang pada mulanya dibuka mengikut Seksyen 148/ 326 Kanun Keseksaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Beliau berkata, semua suspek direman selama seminggu sehingga 2 Feb depan.