You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Guru sudah diarah elak buat ‘live’ ketika mengajar, kata menteri

Free Malaysia Today logo Free Malaysia Today 25/4/2022 Nora Mahpar
Radzi Jidin berkata, pemakluman kepada guru-guru mengenai perincian berkaitan siaran ‘live’ semasa sesi mengajar akan dikeluarkan. © Provided by Free Malaysia Today Radzi Jidin berkata, pemakluman kepada guru-guru mengenai perincian berkaitan siaran ‘live’ semasa sesi mengajar akan dikeluarkan.

BANGI: Menteri Pendidikan, Radzi Jidin berkata, kementeriannya telah mengarahkan guru supaya mengelakkan daripada membuat ‘live’ atau siaran langsung di platform media sosial ketika sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam kelas.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan satu pemakluman kepada guru mengenai perincian berkaitan ‘live’ semasa sesi mengajar.

“Kita sudah maklumkan kepada guru-guru supaya elakkan berbuat demikian (rakam ketika sesi mengajar) kerana kesannya besar, sebab wajah anak-anak kita kekal di media sosial sampai bila-bila.

“Kita akan keluarkan satu pemakluman kepada guru-guru berhubung perincian berkaitan live sewaktu mengajar,” katanya pada sidang media sempena pelancaran Generasi Penamat Anto Rokok 18 (GEGAR-18) di SMK Bandar Seri Putra, disini.

Sebelum ini, persatuan guru menegur segelintir penjawat awam itu yang membuat rakaman secara langsung di media sosial yang bersifat lebih kepada “mempopularkan diri sendiri” semasa bertugas.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, penggunaan media sosial khususnya untuk membuat siaran langsung semasa waktu bertugas rasmi adalah sesuatu yang salah.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, tindakan merakam sesi pengajaran itu boleh memberi kesan besar kepada pelajar.

“Perkara ini sedang diperincikan di peringkat kementerian kerana ia akan memberi kesan kepada murid… satu dunia tengok, kita sedang perincikan pendekatan paling sesuai (kepada guru),” katanya.

Mengenai isu guru bersara awal, Radzi berkata, data yang diperolehi KPM menunjukkan trend itu bermula sejak 2017, bukannya hanya selepas pandemik Covid-19.

“Ada yang kata ia mungkin sebab Covid-19 dan sebagainya, ia tidak semestinya betul kerana trend itu sudah bermula lebih awal sebelum pandemik,” katanya.

Katanya, KPM kini sedang memperincikan punca kepada trend bersara awal dan iakan didedahkan kepada umum tidak lama lagi.

“Kita sedang perincikan apakah punca kepada trend tersebut, dalam masa terdekat kita akan beri penjelasan lebih mendalam,” katanya.

Laporan sebelum ini mendedahkan kira-kira 10,000 guru menghantar permohonan bersara awal setiap tahun sejak beberapa tahun lalu dan ia menyamai kadar guru bersara wajib.

More from Free Malaysia Today

Free Malaysia Today
Free Malaysia Today
image beaconimage beaconimage beacon