You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Lukisan pada arca Putrajaya dihasilkan remaja autisme

Berita Harian logo Berita Harian 27/8/2019 Oleh Noor Atiqah Sulaiman
a group of people walking down the street: Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim (kanan) bersama Wan Jamila Wan Shaiful Bahri (kanan) bergambar di hadapan arca PUTRAJAYA di Dataran Putra semalam. - Foto BERNAMA © Provided by Media Prima Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim (kanan) bersama Wan Jamila Wan Shaiful Bahri (kanan) bergambar di hadapan arca PUTRAJAYA di Dataran Putra semalam. - Foto BERNAMA bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Siapa sangka lukisan yang terdapat pada arca Putrajaya yang diletakkan di Dataran Putra selebar 1.5 meter dan setinggi 2.4 meter itu dilukis oleh seorang remaja autisme berusia 17 tahun, Wan Jamila Wan Shaiful Bahri.

Apa yang lebih membanggakan, pemilihan lukisan itu dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lukisan berkenaan dipilih untuk diletakkan pada arca itu sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya, Sabtu ini.

Jika dilihat secara dekat, lukisan memaparkan konsep struktur bangunan dan jambatan yang terkenal di Malaysia itu sebenarnya turut dihias dengan ‘doodle’ wanita pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban selain bendera Jalur Gemilang.

Ibu remaja berkenaan, Noorhashimah Mohamed Noordin, 58, berkata pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) ada berjumpa dengannya dan berminat untuk meletakkan lukisan anaknya pada arca.

Katanya, sudah tentu berita berkenaan memberi kegembiraan kepada dirinya sebagai ibu, malah turut berbangga dengan bakat yang dimiliki Wan Jamila.

“Memang setiap kali tibanya bulan Kemerdekaan, saya akan meminta dia melukis apa saja yang bertemakan kemerdekaan. Daripada pemilihan warna sehinggalah corak semuanya dibuat sendiri tanpa bantuan sesiapa.

“Untuk lukisan pada arca berkenaan, dia berjaya siapkan dalam tempoh sebulan setengah. Dia banyak habiskan masa dalam galeri miliknya dari pagi hingga malam untuk melukis,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa pertemuan dengan Presiden PPj, Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Bercerita lanjut mengenai anak keempatnya itu, Noorhashimah berkata kemahiran melukis Wan Jamila itu dikesan sejak berumur empat tahun.

“Ketika kecil, dia suka meluahkan perasaannya melalui lukisan. Dia boleh melukis secara terperinci sesuatu kejadian walaupun hanya melihat sekali imbas.

“Jadi, setiap kali balik dari sekolah, saya tahulah apa yang terjadi kerana dia akan melukis apa yang berlaku di sekolahnya pada hari berkenaan. Apa yang cikgu ajar, apa yang rakan sekelasnya lakukan. Semuanya diluahkan dalam lukisan,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata PPj pada 27 Julai lalu menyerahkan sembilan lukisan kepada Perdana Menteri untuk dipilih dan lukisan Wan Jamila mendapat reaksi yang positif.

“Lukisan berkenaan menonjolkan keamanan yang terdapat di negara ini, kerana setiap orang yang terdapat dalam lukisan terbabit ialah cantuman masyarakat di Malaysia.

“Atas faktor itu, PPj tertarik dengan lukisan yang ditonjolkan Wan Jamila. Jadi, kita berjumpa dengan keluarga remaja berkenaan bagi mendapatkan kebenaran untuk menggunakan lukisan pada arca terbabit,” katanya yang menambah lukisan pada arca berkenaan akan ditukar setiap enam bulan.

Arca Putrajaya yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 31 Disember tahun lalu itu menjadi salah satu mercu tanda baharu dan tarikan untuk pelancong bergambar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More From Berita Harian

image beaconimage beaconimage beacon