You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Momentum pelaburan dijangka kembali meningkat 2021-2022

Berita Harian logo Berita Harian 5/10/2020 Mahanum Abdul Aziz
a view of a city: Jumlah pelaburan setakat tahun ini mencapai 64.8 peratus daripada sasaran 2020 berjumlah RM100 bilion - Foto hiasan © Provided by Berita Harian Jumlah pelaburan setakat tahun ini mencapai 64.8 peratus daripada sasaran 2020 berjumlah RM100 bilion - Foto hiasan mahanum_aziz@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Momentum pelaburan secara keseluruhan dijangka meningkat semula pada 2021-2022 dengan usaha kerajaan dalam menarik pelaburan dan mempercepatkan proses kelulusannya, demikian menurut UOB Malaysia.

Ia berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menubuhkan 'Project Acceleration and Coordination Unit' (PACU) untuk memudahkan kelulusan perniagaan, terutama pembuatan dan berkaitan perkhidmatan serta memastikan pelaksanaan projek berjaya dalam tempoh 24 bulan.

"Dengan tumpuan kerajaan memulihkan iklim pelaburan dan usaha berterusan MIDA untuk menarik dan mempercepatkan proses kelulusan pelaburan, peluang perniagaan muncul daripada norma baharu pasca pandemik dan pemulihan ekonomi beransur-ansur, kami jangka pelaburan keseluruhan akan mendapat semula momentum pada 2021-2011," katanya dalam satu nota.

UOB Malaysia berkata, walaupun terdapat kesan pandemik dan risiko penurunan terhadap prospek ekonomi global dan Malaysia, kelulusan pelaburan setakat ini bagi 2020 mewakili 61.8 peratus pelaburan Malaysia yang diluluskan sepanjang tahun ketika Krisis Kewangan Global (GFC) 2009.

Ia berkata, jumlah pelaburan itu mencapai 64.8 peratus daripada sasaran 2020 berjumlah RM100 bilion.

"Sehingga Julai 2020, MIDA mempunyai 732 projek dengan cadangan pelaburan RM35.9 bilion dalam perancangan untuk sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer.

"Pelaksanaan pelaburan yang diluluskan itu akan membantu melonjakkan semula pelaburan swasta pada 2021-2022," katanya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini berkata, kerajaan sedang merangka Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia ke-12 yang akan melihat kepada usaha lebih mesra pelabur.

Kerajaan mengumumkan beberapa insentif cukai dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI).

Jumlah pelaburan diluluskan dalam sektor primer, pembuatan dan perkhidmatan mencatatkan RM64.8 bilion pada separuh pertama 2020, yang mana 38.4 peratus lebih rendah berbanding tahun lalu di tengah-tengah penularan COVID-19.

Kelulusan pelaburan pembuatan disokong oleh pelaburan pembuatan domestik kukuh yang meningkat sebanyak kira-kira 80 peratus kepada RM17.9 bilion.

Lebih dua pertiga keseluruhan pelaburan pembuatan pada separuh pertama 2020 adalah projek baharu.

Subsektor utama termasuk penapisan petroleum dan produk, pembuatan jentera, produk elektrik dan elektronik, pembuatan makanan, dan peralatan sains dan pengukuran.

Sabah, Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Terengganu adalah lima negeri teratas yang memperoleh paling banyak minat pelaburan pembuatan.

Kelima-lima negeri itu secara keseluruhan menyumbang RM29.7 bilion atau mewakili 83.2 peratus daripada jumlah pelaburan pembuatan yang diluluskan dalam tempoh itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More From Berita Harian

image beaconimage beaconimage beacon