You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Rakyat Malaysia perlu kerja sebulan untuk beli iPhone baharu

Berita Harian logo Berita Harian 15/9/2021 Wartawan BH
Apple melancarkan iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max - Foto EPA © Provided by Berita Harian Apple melancarkan iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max - Foto EPA bhbiz@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia secara puratanya perlu bekerja selama 30.3 hari sebelum mampu memiliki sebuah iPhone 13 Pro, dengan anggapan mereka membelanjakan semua wang gaji yang diperoleh, demikian menurut kaji selidik iPhone Index oleh Picodi.com.

Di Malaysia, harga rasmi iPhone 13 Pro (128 GB) asas yang diumumkan hari ini adalah RM4,899.

Sama seperti tahun sebelum ini, pembeli tidak akan menerima pengecas atau fon telinga dalam pakej telefon pintar berkenaan.

Menurut data terkini oleh Numbeo, purata gaji di Malaysia adalah RM3,399.17, yang menyebabkan rakyat di negara perlu bekerja selama sebulan untuk mendapatkan telefon pintar yang baru dilancarkan itu.

Berbanding indeks tahun lalu, kedudukan Malaysia merosot sebanyak 1.2 hari.

Pada 2018, indeks sama mendapati rakyat Malaysia memerlukan 41.3 hari untuk mendapatkan iPhone baharu, manakala 30.1 hari diperlukan pada 2019 dan terus meningkat kepada 29.1 hari pada tahun lalu.

Sementara itu, rakyat Switzerland adalah yang pantas boleh membeli iPhone baharu itu, iaitu hanya 4.4 hari. Purata rakyat Amerika Syarikat (AS) pula mampu membeli gajet baharu berkenaan hanya selepas bekerja 5.9 jari, manakala Australia 6.4 hari.

Dalam kalangan negara dikaji, purata paling lama diambil oleh rakyat Turki, apabila iPhone baharu itu bernilai 92.5 hari bekerja.

Ia diikuti oleh Filipina dan Brazil, masing-masing selama 90.2 dan 79.2 hari.

iPhone Index adalah harga tahunan iPhone berbanding purata nisbah gaji yang dibuat oleh Picodi.com sejak 2018.

iPhone Index 2021 dikira berdasarkan harga iPhone 13 Pro (128 GB) yang diumumkan oleh rangkaian Apple tempatan atau laman web penjual berlesen.

Gaji purata diperoleh daripada kementerian atau pejabat perangkaan setiap negara, selain dikemaskini dengan harga iPhone yang dikeluarkan di negara terbabit.

Gaji bulanan dibahagikan selama 21 hari, iaitu purata hari bekerja dalam sebulan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More From Berita Harian

image beaconimage beaconimage beacon