You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Ramai wanita jadi usahawan baharu e-dagang

Harian Metro logo Harian Metro 30/10/2020 Bisnes HM
graphical user interface, application: FOTO HIASAN. © Provided by Harian Metro FOTO HIASAN. bisnes@hmetro.com.my

KAJI selidik yang dilakukan baru-baru ini oleh platform e-dagang Shopee yang membabitkan 11,850 penjual tempatan di Malaysia menunjukkan bahawa e-dagang mewujudkan mata pencarian dan peluang baharu dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, sebanyak 5,406 adalah usahawan baharu yang menjalankan urus niaga menerusi e-dagang secara 100 peratus dalam talian.

"Apa yang menarik, sebanyak 72 peratus adalah usahawan wanita daripada kesemua usahawan baharu yang lahir daripada e-dagang ini. Kebanyakannya menjual produk kesihatan, kecantikan, pakaian wanita dan aksesori fesyen, mereka dapat memperoleh sebanyak RM3,950 secara purata sebulan," katanya pada taklimat media secara maya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ho berkongsi penemuan penting itu daripada hasil tinjauan yang dilakukan oleh Shopee berkaitan bagaimana e-dagang memberi peluang baharu kepada rakyat Malaysia melalui Youtube, menjelang '11.11 Big Sale' Shopee.

"Hasil kajian itu menunjukkan bahawa e-dagang memberi peluang yang sama rata bagi semua orang dalam melakukan urus niaga dalam talian. Selain membantu memberi kehidupan yang lebih baik, ia juga menunjukkan bahawa platform ini dapat memainkan peranan lebih besar dalam membentuk kumpulan tenaga kerja yang baharu.

"Ia sangat mudah untuk diuruskan kerana platform seperti Shopee menawarkan ekosistem e-dagang holistik merangkumi penyelesaian pembayaran, logistik bersepadu, sokongan pemasaran dan operasi untuk membawa jumlah pengguna yang tinggi ke platform itu, ia dapat membantu meningkatkan lebih banyak jualan untuk penjual kami," katanya.

Walaupun e-dagang masih dalam peringkat awal dalam pertumbuhan, secara beransur-ansur ia akan mewujudkan kesan kepada sosio-ekonomi.

Sebanyak 1,700 daripada 11,850 penjual yang ditemu bual berkata, mereka mengambil pekerja sepenuh masa dan sambilan untuk memenuhi permintaan yang meningkat secara keseluruhan.

"Menerusi prasarana yang kukuh, kami dapat memperkasakan rakyat Malaysia untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian dengan meraih keuntungan, sama ada secara sepenuh masa atau sambilan, tanpa mengira siapa mereka," katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More From Harian Metro

image beaconimage beaconimage beacon