You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Siang jadi isteri, malam jadi gundik?

Free Malaysia Today logo Free Malaysia Today 29/9/2022 Mohsin Abdullah
© Provided by Free Malaysia Today

Muhyiddin Yassin kata Abdul Hadi Awang kata (sila rujuk artikel saya semalam), PAS “dalam tempoh terdekat akan buat keputusan muktamad ‘to cut off ,they will have nothing to do with Umno’”. Menurut Muhyiddin, begitulah “gambaran” yang diberikan presiden PAS itu kepadanya dalam pertemuan tempoh hari.

Bukan menganggap Muhyiddin tersalah tafsir. Bukan menuduh beliau dan juga Hadi tidak bercakap benar atau tidak menceritakan kisah lengkap, cuma ingin bertanya adakah PAS akan melakukan apa yang Muhyiddin kata PAS akan lakukan? Perlu diingat, Muhyiddin tidak berkata PAS dalam waktu terdekat akan buat keputusan muktamad – sama ada nak pilih Umno atau Bersatu. Tidak beliau berkata demikian.

Sebaliknya, Muhyiddin mengumumkan gambaran yang diberi kepadanya oleh Hadi ialah PAS dalam tempoh terdekat akan buat keputusan muktamad untuk putus hubungan dengan Umno. Noktah. Sekali gus, PAS tidak akan “ada kena-mengena” lagi dengan Umno. Itu kesimpulan Muhyiddin dengan jelas dan yakin.

Persoalan sama ada itu yang akan PAS lakukan, saya timbulkan berdasarkan realiti dan situasi politik tanah air serta pilihan yang ada pada PAS masa kini.

“Saya tidak yakin PAS akan tolak Umno begitu saja. Masalah 27 kerusi kritikal bermain dalam kepala PAS,” kata Mohd Sayuti Omar, penulis politik yang mengikuti perkembangan PAS lebih 50 tahun.

Kerusi kritikal yang Sayuti maksudkan ialah kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, dan Sabah. Peratus pengundi Melayu di kawasan berkenaan dianggarkan 50% hingga 60%. Semua kerusi itu dimenangi Pakatan Harapan menerusi calon PKR, Amanah, dan DAP pada PRU14.

“Kalau masalah kerusi kritikal tidak diselesaikan, harapan untuk menang pada pilihan raya akan datang sukar,” kata Sayuti. Kata beliau lagi, PAS akan terus berusaha “menggunakan alasan perpaduan ummah untuk berbaikkan Umno dengan Bersatu”.

Menurut Sayuti, PAS “sangat memahami” jika Umno dan Bersatu tidak didamaikan sehingga berlaku perebutan antara mereka di 27 kerusi kritikal itu, “harapan kelompok bernuansa Melayu-Islam menang tidak akan tercapai”.

Bagi Sayuti, gara-gara 27 kerusi yang dikategorikan sebagai kritikal itu menyebabkan Umno, PAS, dan Bersatu “seperti sedang meroyan” dan ketiga-tiganya masih tercari formula terbaik untuk mengatasi masalah itu.

Walaupun mendakwa semua dibuat atas landasan perpaduan ummah “demi bangsa dan agama”, hakikatnya seperti kita semua maklum, tujuannya ialah untuk menang pilihan raya, meskipun bak kata Sayuti, dasar itu boleh dilihat bersifat “rasis” dalam konteks masyarakat Malaysia. Namun, itu modal besar PAS.

Kita kerap diberitahu akar umbi PAS dan Umno mahu parti mereka berbaik-baik demi perpaduan saudara seagama. Namun bagi saya, PAS dan Umno semasa menubuhkan Muafakat Nasional (MN) pada 2019 percaya, malah yakin, kemenangan PRU15 akan mereka perolehi, jika kedua-dua parti bersatu. Kalau tidak bergabung, bekerjasama paling tidak.

Tetapi, saya berpendapat PAS lebih selesa duduk dalam gabungan yang dianggotai Bersatu. Lantas, Perikatan Nasional (PN) kerana parti pimpinan Muhyiddin lebih “mudah” atau lebih “lembut” apabila soal agihan kerusi dibincangkan, berbanding Umno yang pasti akan “keras kepala” dan tidak berganjak apabila membuat tuntutan.

Dari sudut lain, PAS bersama Umno dalam MN akan menyaksikan Umno dominan. PAS bersama Bersatu dalam PN, PAS lah dominan.

Selepas pertemuan Muhyiddin dan Hadi pada 26 Sept lalu, presiden Bersatu itu memberitahu: “Kita (maksudnya Bersatu dan PAS) bersetuju rundingan kerusi untuk PRU15 dimuktamadkan segera. Ini akan disegerakan, maknanya sudah sampai tahap pembahagian kerusi.” Ertinya semua sudah atau hampir beres. Begitu?

Ertinya, soal siapa bertanding di mana digunakan sebagai “bargaining chip” untuk Bersatu dan PAS mencapai matlamat masing-masing.

Berbalik kepada soalan adakah PAS akan meninggalkan Umno seperti yang Muhyiddin faham gambaran yang diberikan Hadi kepadanya?

Kata Sayuti, PAS “benar-benar jadi ‘mediator’ untuk selamatkan keadaan.” Saya melihat “selamatkan keadaan” ialah “selamatkan diri sendiri”. Apa pun, bagi Sayuti, dalam keadaan tertentu, PAS sedia membahagi-bahagikan dirinya untuk Umno dan Bersatu. “Siang jadi isteri (kepada Umno), malam jadi gundik (kepada Bersatu),” kata beliau.

Lagi satu persoalan penting, kata Sayuti: “Pokoknya, sejauh mana Umno dan Bersatu meyakininya (mempercayai PAS)?”

Seorang pemerhati politik – cukup berpengalaman yang pernah terbabit dalam percubaan mendamaikan Umno-PAS ketika kedua-dua parti itu berperang sengit pada 1990-an melontar pendapat sinis: “Elok semua parti Melayu duduk dalam bumbung teguh. Adakan tiga jawatan timbalan perdana menteri. Parti menang kerusi terbanyak dilantik perdana menteri.” Tetapi kata beliau lagi: “Kena buat perjanjian bertulis.”

Jika saya boleh mencelah – Persoalan yang timbul, adakah ini hanya membabitkan PAS, Umno, dan Bersatu? Bagaimana pula Gerakan Tanah Air yang juga berwajah Melayu-Islam?

Namun, menempatkan semua parti Melayu bawah satu bumbung akan menyaksikan “segregation”, yakni “kami” orang Melayu dan “mereka” orang bukan Melayu. Melayu di sebelah pihak, orang bukan Melayu di satu pihak lain (yang pasti ada juga orang Melayu-Islam bersamanya).

Mengambil kira peranan (kuasa?) Sabah dan Sarawak sebagai penentu siapa boleh bentuk kerajaan pusat, formula itu pada hemat saya, tidak akan mengukir kejayaan. Sekurang-kurangnya dalam waktu terdekat.

Maka, mungkin “terpaksalah” PAS meneruskan peranan (meminjam kata-kata Sayuti) siang jadi isteri, malam jadi gundik. Besar pengorbanan itu.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

More from Free Malaysia Today

Free Malaysia Today
Free Malaysia Today
image beaconimage beaconimage beacon