Spurs bimbang Southgate turunkan Kane lagi
LONDON: Tottenham bimbang kecederaan paha Harry Kane akan bertambah serius jika pengendali England Gareth Southgate kekal dengan perancangan menyenaraikan kaptennya dalam kesebelasan utama menentang Denmark.
Southgate bakal mencetus pergaduhan dengan bos Spurs Jose Mourinho sekiranya Kane cedera lebih teruk pada aksi Liga Negara-Negara awal pagi esok.
Bos England itu sudah menimbulkan kemarahan Mourinho apabila menurunkan Kane pada 25 minit terakhir ketika kemenangan 2-1 ke atas Belgium Ahad lalu.
Selepas perlawanan itu Southgate cuba menepis sebarang kontroversi dengan menyatakan Kane hanya mengalami kelesuan otot.
"Daripada aspek perubatan. sentiasa ada perbincangan (dengan Tottenham), kerana ia sering menjadi isu.
"Dia melaporkan diri pada Ahad (4 Oktober) dan kami memberikan pemain yang melapor diri hari itu serta tidak terbabit dengan perlawanan Wales, rehat dua hari.
"Dia mula berlatih pada Rabu dan kurang selesa dengan keadaannya, jadi dia bersama pasukan perubatan kami untuk tempoh beberapa hari.
"Kami membuat imbasan untuk mendapat kepastian, tetapi ia lebih kepada kelesuan otot berbanding kecederaan, jadi ia hanya memerlukan sedikit keyakinan.
"Dia tahu dia mampu meningkatkan aksinya, tetapi memerlukan lebih keyakinan, jadi sesi latihannya tidak sesuai untuk dia memulakan perlawanan menentang Belgium.
"Berdasarkan situasi semasa, dia bersedia untuk memulakan perlawanan Rabu ini," kata Southgate. - AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd