You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Sukar bagi PH tarik undi atas pagar, kata penganalisis

MalaysiaNow logo MalaysiaNow 3 days ago Ahmad Mustakim Zulkifli
© Provided by MalaysiaNow

Pakatan Harapan (PH) berdepan cabaran besar untuk merealisasikan hasrat menawan 30% daripada 60% pengundi atas pagar untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, walaupun gabungan itu mempunyai kelebihan akibat perpecahan undi Melayu.

Baru-baru ini Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli memaklumkan pertandingan pelbagai penjuru tidak semestinya merugikan PH dan gabungan itu perlu mendapatkan sokongan pengundi atas pagar untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali berkata, jika PH tidak mampu mendapatkan sebilangan besar sokongan pengundi atas pagar, gabungan pembangkang itu akan menerima keputusan yang sama seperti Johor dan Melaka.

"Cabaran kepada PH ialah bagaimana hendak mendapatkan sokongan golongan Undi 18 dan pengundi atas pagar," katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Mazlan, berdasarkan tingkah laku pengundi pasca pandemik Covid-19, keyakinan bekas ahli Parlimen Pandan itu dilihat disifatkan Mazlan “agak tinggi” kerana pengundi sudah jemu dengan isu politik, dan perilaku ahli-ahli politik.

"Kalau PH boleh dapat 30% pengundi atas pagar, bagi saya itu luar biasa dan hebat," katanya.

Mazlan turut merujuk kepada pergolakan politik yang menyaksikan pertukaran kerajaan dan perdana menteri sebanyak tiga kali selepas PRU14 lalu.

Katanya, ia merupakan antara faktor berlaku kelesuan politik dalam kalangan pengundi muda dan atas pagar.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kartini Aboo Talib berkata, Rafizi mempunyai kelebihan menjalankan kajian tinjauan untuk meramalkan pola tingkah laku pengundi, namun kaedah “sampling” beliau boleh dipersoalkan.

"Rafizi mungkin ada data hasil pemerhatian dan kajian tinjauan beliau, tetapi beliau harus telus kaedah dan persampelan yang digunakan sebelum membidik tepat nasib PRU15 nanti," katanya.

Sokongan BN tidak berubah

Keyakinan Rafizi juga dikukuhkan dengan jumlah undi yang diterima Barisan Nasional (BN) semasa PRN Melaka dan Johor.

Meskipun menang besar, jumlah peratusan pengundi BN tidak meningkat dan bilangan peratusan pengundi kawasan kekal dalam julat sokongan yang sama.

Meskipun begitu, menurut Kartini, PRU15 mungkin menghasilkan keputusan yang berbeza daripada 2018.

Ini ekoran isu-isu semasa boleh mempengaruhi keputusan pengundi.

BN menyaksikan peningkatan undi hanya 0.64% daripada 37.84% semasa PRU14, kepada 38.39% pada PRN Melaka, manakala di Johor, gabungan itu mendapat 43.11% pada PRN baru-baru ini.

Kemenangan BN juga didasarkan kepada peratusan keluar mengundi yang rendah.

Ia membolehkan parti itu menggerakkan pengundi tegar mereka untuk pergi ke tempat undi.

Mengenai peratusan undi yang dijangka keluar pada PRU15, Kartini menjangkakan peratusan yang menggalakkan, ekoran peratusan individu yang lengkkap divaksin melepasi 98%.

Keadaan tersebut membolehkan rakyat menyertai proses pilihan raya secar aktif pada PRU15, selain insentif parti dan pertubuhan bukan kerajaan yang menyediakan bas dan wang tunai untuk pulang mengundi.

Kartini berkata, ramalan bahawa PH memerlukan 30% pengundi atas pagar merujuk kepada kawasan-kawasan yang jelas menyokong PH, iaitu kawasan bandar dan pengundi bukan Melayu.

Begitupun, faktor etnik dan kawasan sudah menjadi kelaziman dalam menilai sokongan pengundi.

"Ia bukan faktor mutlak kerana isu kepentingan strategi, permuafakatan, boleh sahaja menyatu dan memisahkan gabungan-gabungan dalam mana-mana parti.

“Tambahan pula pengundi Melayu berdepan dengan dilema memilih Umno, PAS, Bersatu, PKR, Pejuang, Muda dan Warisan," katanya.

Persoalan juga timbul mengenai hayunan undi Melayu yang amat diperlukan PH sekiranya ingin mentadbir semula Putrajaya.

Ini kerana mereka hanya mampu menang dengan hayunan undi Melayu yang dahulunya dibawa oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bersama partinya ketika itu, Bersatu.

Kini beliau menubuhkan gagasan Melayu-Islam yang dipanggil Gerakan Tanah Air bagi membentuk perserikatan melawan Umno.

Mazlan berkata, Umno dan Perikatan Nasional (PN) sememangnya memerlukan undi Melayu.

"Sekiranya undi Melayu berpecah kepada tiga, pertandingan pelbagai penjuru memang boleh memberi kelebihan kepada PH."

Bagi Kartini, faktor Mahathir sudah pudar dalam pandangan orang Melayu dan bukan Melayu.

Katanya, parti yang boleh memancing undi ialah parti yang menjuarai isu semasa dan isu harian rakyat dalam situasi sukar pasca Covid-19.

More from MalaysiaNow

MalaysiaNow
MalaysiaNow
image beaconimage beaconimage beacon