You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Teman di saat memerlukan

Berita Harian logo Berita Harian 2/8/2021 Hanis Aliaa Hidzir
a man riding on the back of a bicycle: ‘Temanions’ akan menemani pelanggan melakukan pelbagai aktiviti seperti tugas harian, menghadiri janji temu atau hanya menghabiskan masa lapang mereka. - FOTO Petronas Flow © Provided by Berita Harian ‘Temanions’ akan menemani pelanggan melakukan pelbagai aktiviti seperti tugas harian, menghadiri janji temu atau hanya menghabiskan masa lapang mereka. - FOTO Petronas Flow

BERIKUTAN pelaksaanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan yang terkini Pelan Pemulihan Negara (PPN) berfasa, hampir keseluruhan rutin harian rakyat Malaysia terjejas.

Golongan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) adalah antara yang paling terkesan.

Cabaran tanpa bantuan

Bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda, Wendy (bukan nama sebenar) mengakui perjalanannya ke tempat kerja menjadi lebih sukar dalam tempoh pandemik ini.

Walaupun dapat menjalani rutin harian tanpa bantuan, beliau masih lagi bergantung kepada bantuan rakan atau keluarga untuk ke tempat kerja dan sebaliknya.

Tanpa bantuan yang diperlukan, Wendy terpaksa memohon cuti rehat dan mengakui adakalanya beliau terasa tidak berdaya apabila berhadapan dengan situasi seperti itu.

Apabila mengetahui tentang Teman Malaysia sekitar tahun 2020, Wendy mencuba nasib memohon bantuan daripada 'Temanions'.

Dengan bantuan yang ditawarkan, Wendy kini lebih yakin dalam menjalani kehidupan seharian yang sekaligus telah meningkatkan kualiti hidupnya.

Bukan perkhidmatan penjagaan biasa

a man and a woman standing in front of a store: Image © Provided by Berita Harian Image Teman Malaysia menawarkan pengalaman berbeza yang lebih selamat dengan sistem kemaskini lokasi dan aktiviti yang sedang dijalankan. - FOTO Petronas Flow

Teman Malaysia adalah satu usaha murni baharu yang dihasilkan oleh usahawan sosial kali pertama menerusi Kohort Pertama Makmal Pendidikan dan Perusahaan Sosial (SEEd.Lab) yang bermula pada Januari 2020.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Teman Malaysia, Nurul Ezzati Mohamed Nasir, 'Temanions' merupakan satu kata lakur yang menggabungkan perkataan Bahasa Melayu Teman dan -ion, dari perkataan Bahasa Inggeris, companion yang turut membawa maksud, teman.

'Temanions' akan menemani pelanggan untuk menjalani pelbagai aktiviti termasuklah menghadiri janji temu kesihatan sehinggalah menjalankan rutin harian lain di luar.

a woman standing in front of a window posing for the camera: Image © Provided by Berita Harian Image Ketua Pegawai Eksekutif Teman Malaysia, Nurul Ezzati Mohamed Nasir. - FOTO Petronas Flow

"Apa yang membuat Teman Malaysia berbeza daripada perkhidmatan seumpamanya yang lain ialah kami memberikan bantuan jangka pendek tanpa meletakkan komitmen mingguan atau bulanan kepada pelanggan.

"Kami menyediakan perkhidmatan jangka pendek sehingga satu jam yang menjadikannya lebih sesuai bagi mereka yang mempunyai kekangan kewangan dan komitmen jangka panjang," ujar Ezzati.

Ketersediaan bantuan ini hampir menemui jalan buntu dengan sekatan yang diperketatkan namun memahami keperluan golongan yang amat memerlukan, Teman Malaysia bertindak segera mendapatkan permohonan beroperasi sebagai penyedia perkhidmatan asas yang penting.

"Individu yang tinggal bersendirian, jauh dari keluarga atau sahabat handai seperti Wendy merupakan penyebab utama kami gigih berusaha mendapatkan permohonan beroperasi sepanjang tempoh sekatan ini dan kami bersyukur kerana dapat menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," kata Ezzati.

Ketika ini, Teman Malaysia menawarkan tiga jenis perkhidmatan berbeza kepada pelanggan dan sentiasa berusaha untuk memenuhi permintaan mereka, khususnya warga emas bagi membantu mereka menjalani rutin harian dengan lebih mudah dan selesa.

Ezzati bercita-cita untuk melihat Teman Malaysia terus berkembang dan sekaligus menjadi 'Teman Everywhere' terutama di rantau Asia Tenggara.

Dengan perluasan skala ini, mereka bukan sahaja dapat membantu lebih ramai yang memerlukan malah dapat memberikan 'Temanions' aliran pendapatan yang kukuh bagi menampung kehidupan mereka.

"Kami tidak hanya mahu membantu warga emas malah golongan lain seperti para ibu muda, wanita hamil dan kanak-kanak turut menjadi matlamat kami.

"Kami mahu menjadikan perkataan 'Teman' sebagai jenama kami dan menjadi sebuah syarikat yang menawarkan bantuan bagi semua yang memerlukan tanpa mengira demografi dan melangkaui semua sempadan," akhiri Ezzati.

Untuk maklumat lanjut mengenai Teman Malaysia, layari laman rasmi PETRONAS Flow.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More From Berita Harian

image beaconimage beaconimage beacon