You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Usah biarkan Sungai Buloh senasib Kim Kim

Berita Harian logo Berita Harian 31/12/2020 Ilah Hafiz Aziz
a small boat in a body of water: Foto hiasan. © Provided by Berita Harian Foto hiasan.

HAMPIR setiap hari sejak 10 tahun lalu, nelayan dan penangguk kerang di Jeti Nelayan Sungai Buloh terpaksa melalui perairan hitam, berbau dan berminyak untuk mencari sesuap rezeki bagi menyambung kehidupan.

Tanpa jemu, usaha mencari rezeki itu diteruskan, walaupun mengetahui sungai yang menjadi menyambung nyawa mereka sekeluarga itu mungkin tidak panjang hayatnya gara-gara pencemaran yang semakin serius.

Bagi nelayan, Mohd Kassim Ismail, 56, sepanjang usianya dia melalui sungai itu pada setiap hari untuk ke laut dan melihat perubahan demi perubahan yang berlaku terhadap keadaan dan kualiti air sungai itu.

Katanya, sungai ini dahulunya sangat jernih dan jika syiling jatuh pun, akan jelas dilihat di dasar, tetapi hari ini keadaan jauh berbeza hingga tiada siapa mahu menjejaki kaki ke dalam sungai mahupun untuk terjun membersihkan diri.

"Dahulu kami tidak perlu menangkap ikan jauh ke laut kerana berhampiran muara sungai juga ada rezeki. Kadang-kala ikan seperti siakap pun masuk ke sungai itu.

"Namun, kini sangat menyedihkan, ia tinggal sejarah kerana ikan sungai, kerang, ketam atau kepah sudah banyak pupus," katanya.

Sebenarnya Sungai Buloh mempunyai sejarah ekosistem tersendiri kerana sejak beberapa tahun lalu, ia terkenal sebagai pengeluar kerang terbesar bukan sahaja di Selangor, malah di negara ini.

Hari ini, situasi itu tidak lagi berlaku kerana kerang seolah-olah tidak mahu 'hidup' di muara sungai itu apabila pengeluarannya jatuh mendadak.

Jabatan Perikanan sendiri merangka program intensif untuk menggalakkan pengeluaran hidupan itu, namun, kehadiran kerang yang hidup secara semula jadi dilihat tidak memberangsangkan, dipercayai akibat pengaruh kualiti air di situ.

Sekitar sungai itu juga menjadi kawasan penting burung (IBA) khususnya bagi burung hijrah yang menjadikan sungai itu sebagai lokasi 'Rawat dan Rehat' ketika menyusur ke selatan, namun mengikut Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), situasi itu juga semakin terjejas.

Presiden MNS, Prof Dr Ahmad Ismail, berkata pencemaran yang terjadi di Sungai Buloh boleh mengganggu ekosistem hutan bakau, sekali gus memberi kesan terhadap kesihatan dan kelestarian populasi haiwan yang bergantung hidup kepada ekosistem hutan bakau.

Hakikatnya, isu pencemaran Sungai Buloh ini bukan perkara baharu, malah diketahui oleh agensi penguat kuasa yang ada, termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

JAS Selangor melakukan pemantauan sekurang-kurangnya lima kali setahun dan merekodkan penemuan yang boleh diambil tindakan segera oleh kerajaan negeri Selangor. Antaranya kewujudan 2,822 industri di lembangan sungai itu dan kandungan oksigen terlarut (DO) yang rendah.

Malah, LUAS sendiri sudah mengeluarkan kajian pada 2012 khusus untuk Sungai Buloh dan mendedahkan, lembangan sungai itu mengalami penurunan kualiti air akibat pembangunan perindustrian dan komersial yang pesat di kawasan persekitarannya.

LUAS dalam Kajian Kebersihan Sungai Buloh pada 2012 itu, menemui punca pencemaran berpotensi bagi aliran hitam adalah dari premis perindustrian besi, kilang kitar semula plastik dan kilang kertas serta loji rawatan kumbahan.

Namun, lapan tahun sudah berlalu dan sudah hampir memasuki 2021, mengapa Sungai Buloh masih tercemar dan sehingga JAS sendiri mendedahkan pada setiap hari, empat tan atau 4,000 kilogram sisa pepejal tidak terlarut atau TSS (Jumlah Pepejal Terampai/Total Suspended Solid) memasuki sungai itu.

Bagi rakyat biasa, penemuan JAS itu bermakna, sekurang-kurangnya hampir lapan hingga 10 tahun, bertan-tan sisa toksik sudah dibuang ke dalam sungai itu setiap hari, sehingga kini.

Mengikut rekod Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019 turut mengatakan, Kajian Kebersihan Sungai Buloh itu diteruskan pada 2019 untuk mengenal pasti punca pencemaran berkaitan.

Namun, persoalan timbul, apa sudah jadi dengan penemuan Kajian Kebersihan Sungai Buloh 2012 yang dilakukan LUAS dan apa tindakan yang diambil kerajaan Selangor yang membuatkan kajian itu masih diteruskan.

Sudah lapan tahun kajian itu wujud dan tahun lalu ia masih disambung dan jika lapan tahun lagi ia masih disambung dan disambung, kemungkinan sungai berkenaan sudah menjadi longkang yang bertugas membawa segala sisa kumbahan, bertoksik, tercemar ke dalam laut. Ia mungkin pusat terbenamnya sampah sarap domestik.

Kerajaan Selangor juga mungkin tidak sedar Sungai Buloh adalah pintu masuk kepada destinasi yang dibanggakannya, iaitu SkyMirror Kuala Selangor. Jika sungai itu tidak diuruskan segera, pastinya ia memberi kesan kepada tapak pelancongan itu.

Lebih penting, kita tidak mahu kejadian pencemaran teruk sungai terus berulang. Cukuplah pengajaran yang berlaku terhadap Sungai Kim Kim yang tentunya kita tidak mahu Sungai Buloh pula mengalami nasib sama.

Penulis adalah wartawan BH

© New Straits Times Press (M) Bhd

More From Berita Harian

image beaconimage beaconimage beacon