You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Telefon bimbit kena bersihkan kalau tak nak virus Covid-19 ‘melekat’!

Free Malaysia Today logo Free Malaysia Today 13/4/2020 FMT Reporters
a hand holding a cellphone: Pada saat wabak Covid-19 sedang melanda, cuci telefon bimbit antara satu langkah yang boleh dilakukan untuk kurangkan risiko jangkitan. © Provided by Free Malaysia Today Pada saat wabak Covid-19 sedang melanda, cuci telefon bimbit antara satu langkah yang boleh dilakukan untuk kurangkan risiko jangkitan.

Apabila wabak Covid-19 mula melanda, ramai di antara kita yang sudah mula mengambil berat berkenaan soal kebersihan diri dan sekeliling.

Ada yang mula mencuci tangan dengan kerap, mula memakai topeng mulut dan hidung malah ada juga yang bertindak melakukan pembasmian kuman pada barang yang dibeli walaupun ia sebenarnya tidak perlu.

Ada yang lebih ekstrem, mencuci sayur-sayuran dan juga buah-buahan yang dibeli dengan menggunakan sabun, kononnya untuk menyingkirkan virus Covid-19.

Dalam kesibukan mencuci barangan seperti itu, ada satu benda yang mungkin anda terlepas pandang untuk dibersihkan.

Apakah barangan tersebut? Ia telefon bimbit anda.

Walaupun telefon anda kelihatan bersih, hakikatnya ia tidaklah seperti yang disangkakan. Bagaimana untuk membersihkan telefon bimbit?

Mengapa saya perlu bersihkan telefon bimbit?

Virus Covid-19 ini boleh bertahan hidup dalam persekitaran yang memiliki suhu bilik.

Tempoh kelangsungan hidup virus ini juga bergantung kepada permukaan tempat ia berada seperti besi, kaca, seramik dan juga plastik.

Bagaimana pula virus ini boleh berada pada telefon bimbit?

Ia boleh terjadi dalam 2 keadaan.

  1. Apabila telefon bimbit anda terkena titisan cecair daripada seseorang yang telah dijangkiti Covid-19 seperti batuk dan bersin.
  2. Apabila virus tersebut berpindah daripada tangan anda setelah menyentuh permukaan-permukaan tertentu di tempat awam seperti tombol pintu, butang lif dan lain-lain lagi.

Oleh itu, terdapat kemungkinan telefon bimbit anda juga mempunyai virus Covid-19 ini sekiranya anda tidak mencuci tangan selepas menyentuh sesuatu permukaan.

Begitu juga apabila anda berada berhampiran dengan mereka yang dijangkiti.

Tetapi ingat, tangan anda juga bukanlah punca terbesar virus ini berpindah ke telefon anda.

Ia juga mungkin berpindah dari wajah anda sewaktu anda membuat panggilan telefon.

Bagaimanakah cara untuk bersihkan telefon bimbit saya?

Sebelum mula mencuci telefon secara semberono, anda disarankan untuk merujuk kembali kepada laman web pengeluar atau pengilang telefon bimbit anda.

Kadangkala, pengeluar akan memberikan arahan khusus berkenaan cara terbaik mencuci telefon bimbit agar ia tidak merosakkan telefon.

Selain itu, anda juga mungkin boleh melihat kepada kotak atau manual penggunaan telefon bimbit tersebut berkenaan cara bersihkan telefon.

Bagi kebanyakan telefon bimbit, berikut merupakan antara kaedah umum untuk bersihkan telefon agar ia lebih bersih dan tidak menyebabkan sebarang kerosakan:

  1. Tanggalkan kesemua plug atau kabel terlebih dahulu.
  2. Gunakan kain yang lembut sahaja.
  3. Jangan sesekali menggosok telefon bimbit dengan cara yang kasar.
  4. Jauhkan telefon bimbit daripada sebarang cecair.
  5. Pastikan tiada sebarang cecair atau kelembapan daripada memasuki mana-mana lubang pada telefon.
  6. Jangan gunakan semburan aerosol dan cecair peluntur kerana ia boleh menghakis telefon bimbit anda.

Bahan apakah yang boleh digunakan untuk bersihkan telefon bimbit saya?

Bukan semua bahan pencuci boleh digunakan untuk mencuci telefon kerana sifat telefon itu yang sangat sensitif.

Anda perlu menggunakan produk berasaskan alkohol kerana cecair sabun biasa boleh menyebabkan kerosakan pada telefon anda.

Selain mencuci telefon, berikut adalah antara langkah-langkah yang boleh anda lakukan untuk mencegah jangkitan Covid-19.

Antara bahan yang boleh digunakan untuk tujuan mencuci telefon ialah ethanol, isopropyl alkohol, hydrogen peroxide dan juga sodium hypochlorite.

Namun, daripada kesemua jenis bahan tersebut, isopropyl alkohol adalah bahan yang paling kurang berbahaya terhadap salutan oleophobic yang terdapat pada telefon bimbit anda.

Oleophobic adalah salutan yang membolehkan anda menyentuh skrin telefon tanpa perlu meninggalkan banyak kesan cap jari selain membolehkan anda mencuci skrin dengan lebih mudah.

Anda boleh menggunakan produk yang mengandungi kandungan isopropyl alkohol seperti tisu basah atau alkohol swab untuk bersihkan telefon anda.

Jadikan produk berasaskan ethanol dan hydrogen peroxide sebagai pilihan terakhir untuk bersihkan telefon bimbit.

Ini kerana, jika anda menggunakan kedua-dua bahan ini dengan kerap, ia boleh merosakkan lapisan oleophobic tersebut.

Berapakah kepekatan kandungan alkohol yang sesuai digunakan?

Kepekatan kandungan alkohol yang paling sesuai untuk bersihkan telefon anda adalah antara 70% hingga 80%.

Alkohol tulen dengan kandungan 100% alkohol akan meruap dengan sangat cepat, oleh itu ia tidak sesuai untuk digunakan.

Untuk hasil yang terbaik, larutan alkohol perlulah berada pada permukaan telefon selama sekurang-kurangnya 1 minit.

Bagaimanapun, bagi kepekatan alkohol yang lebih rendah daripada itu, ia mungkin tidak berkesan dalam membunuh virus.

Oleh itu, pastikan bahawa produk yang anda gunakan mempunyai kepekatan kandungan alkohol sekurang-kurangnya 70%.

Jangan terkejut jika kami nyatakan kepada anda kuman yang berada pada telefon bimbit anda sebenarnya lebih banyak berbanding tempat duduk tandas di rumah anda.

Ini kerana perpindahan mikroorganisma banyak berlaku daripada tangan anda kepada telefon bimbit.

Pada saat wabak Covid-19 sedang melanda, mencuci telefon bimbit antara satu langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Ia bukan wajib tetapi pertimbangkan untuk bersihkan telefon anda sekiranya terkena rembesan cecair tubuh individu lain, atau selepas anda menyentuh mana-mana pemukaan di luar rumah.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com

More from Free Malaysia Today

Free Malaysia Today
Free Malaysia Today
image beaconimage beaconimage beacon