Yap Kee, kopitiam berusia 98 tahun di Klang dengan sentuhan makanan India
KLANG: Tidak jauh dari Stesen Komuter Klang letaknya sebuah kopitiam Cina terkenal yang menyediakan hidangan nasi daun yang lazat.
Biarpun selama ini Klang membina reputasinya sebagai lokasi yang sinonim dengan bak kut teh namun nasi daun pisang di kopitiam berusia 98 tahun itu tidak harus dipandang sepi.
Bagi mereka yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke kopitiam ini, anda perlu mencari satu papan tanda kecil berwarna kuning dengan tulisan ‘Yap Kee’.
Kedudukannya agak tersorok dan ia terletak di antara kedai lama zaman kolonial di sepanjang Jalan Besar.
Jika anda memandu melewati kopitiam itu ketika waktu makan tengah hari, jangan pula terkejut melihat barisan panjang orang ramai yang gigih menunggu hingga ke jalan besar untuk mendapatkan tempat duduk masing-masing.
Itu adalah penangan kehebatan menu di kopitiam ini dan sekiranya bernasib baik, anda pasti tidak perlu menunggu lama untuk mencari tempat duduk sebelum dihidangkan dengan nasi daun pisang yang masih hangat.
Menu di Yap Kee itu cukup ringkas namun amat memuaskan tetapi jangan pula anda mencari hidangan restoran seperti nasi briyani atau ayam mentega.
Anda mempunyai dua pilihan kari sama ada kari ikan atau kambing selain sayur kubis sebagai pelengkap hidangan.
Kemudian, pilihlah lauk kegemaran masing-masing seperti ayam goreng dan ikan goreng atau kari kambing yang lebih sesuai dengan selera anda.
Paling akhir sekali, jangan lupa papadum rangup yang pastinya menambah kelazatan pada makanan anda.
Mengenai harganya pula, ia agak berpatutan apatah lagi kuantiti nasi dihidangkan agak banyak ditambah pula dengan kari, sayur, ayam goreng yang semuanya dikenakan pada harga RM9.
Pemilik generasi ketiga, Yap Meng Yow yang menjaga kaunter bayaran di kopitiam itu turut menyediakan minuman untuk pelanggan.
Antara minuman menyegarkan yang boleh dipilih ialah teh bunga chrysanthemum, jus Kedondong Asam, Asam Boi Limau, Epal Asam atau jus oren.
Yap, 63, yang mewarisi perniagaan Yap Kee daripada bapanya memberitahu FMT, ia sebenarnya bermula daripada datuknya yang bekerjasama dengan lelaki India, Raman Nair pada 1923.
Hubungan baik itu menyebabkan datuknya menyewakan ruang untuk Raman berniaga dan menjual minuman kepada pelanggan bersama nasi daun pisangnya.
“Saya mula bekerja di sini sejak 1987. Malah, saya banyak menghabiskan zaman kanak-kanak bermain di kopitiam ini,” katanya.
Menurut Yap, tukang masak akan mula menyediakan makanan bermula jam 8.30 pagi sebelum menghidangkannya kepada pelanggan pada jam 11 pagi.
“Bagaimanapun, ketika pandemik kami agak terjejas teruk tetapi mujur masih boleh meneruskan perniagaan dengan kaedah penghantaran. Perniagaan masih belum pulih sepenuhnya tetapi ia semakin baik,” katanya.
Sebelum pandemik Covid-19 melanda, keenakan makanan di kopitiam Yap Kee tersebar jauh hingga pelancong asing sanggup menggembara untuk merasainya.
Kadangkala Yap dibantu oleh tiga anaknya di kopitiam namun dia tidak pasti sama ada mereka mempunyai keinginan untuk meneruskan perniagaan itu.
Jam sudah menunjukkan jam 3.30 petang sebaik pelanggan mula berkurangan, ia adalah masanya untuk Yap menikmati makan tengah hari kegemarannya, roti dicicah dengan kari ayam.
“Ini adalah kegemaran saya dan rasanya tidak pernah berubah sejak bertahun-tahun,” katanya.
Yap Kee Banana Leaf
26, Jalan Besar,
Kawasan 1,
41000 Klang,
Selangor.
Waktu Operasi: 11 pagi – 4 petang (tutup pada cuti umum)
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com