You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Buat komunikasi palsu, jurutera, pelajar didenda RM3,000

Free Malaysia Today logo Free Malaysia Today 13/4/2018 Bernama
© FMT MEDIA SDN BHD

KUALA LUMPUR: Seorang jurutera kilang dan pelajar perempuan lepasan politeknik masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana membuat komunikasi palsu di laman sosial Facebook berhubung laporan kontena dipercayai berisi daging babi bercampur daging kambing yang dibawa masuk dari Sepanyol, tahun lalu.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Asrul Alwin Mohd Yusoff, 32, dan Ainin Syazwani Che Mat Noordin, 22, selaku orang kena saman (OKS) selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan masing-masing yang dibacakan secara berasingan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda. Mereka membayar denda itu.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Asrul Alwin dan Ainin Syazwani masing-masing didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook akaun profil “Rul Yusoff” dan “Ann Syzwni” secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain pada 7.48 pagi, 21 Julai 2017 dan 9.53 pagi, 20 Julai 2017.

Kedua-dua pautan itu dibaca di restoran Starbucks Aeon Alpha Angle, Bandar Baru Wangsa Maju, pada 10.00 pagi, 1 Ogos 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 1 tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Ketika rayuan, Ainin Syazwani yang berjubah hitam dan tidak diwakili peguam itu kelihatan sugul dan meminta maaf kepada mahkamah serta memberitahu tidak mengetahui apa yang dilakukannya adalah salah selain tidak berniat menyakiti hati sesiapa.

Mohd Asrul Alwin yang juga tidak diwakili peguam sambil melafazkan kalimah “Bismillahirrahmanirrahim” merayu hukuman ringan dan memberitahu dia kesempitan wang dan perlu menyara ibu bapanya serta apa ditulis di laman Facebook itu bukan untuk memburukkan atau mengajak orang lain membenci dan mengecam mana-mana institusi tetapi hanya untuk ingatan saudara seagamanya.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Norhani Mohd Adzhar memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada orang lain supaya terlebih dahulu mengesahkan sesuatu berita sebelum menyebarkannya dengan mengambil kira kesalahan dilakukan melibatkan penyebaran berita palsu.

Mengikut fakta kes, 1 Ogos tahun lalu, seorang lelaki membaca status yang dimuat naik kedua-dua OKS dan hasil siasatan mendapati akaun itu milik mereka, serta keterangan daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengesahkan status yang menjadi tular itu komunikasi palsu.

Pada Julai tahun lalu, MAQIS menyita empat kontena dipercayai berisi daging babi bercampur daging kambing yang dibawa masuk dari Sepanyol dalam serbuan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor Baharu dan kes itu kemudian menjadi tular di laman sosial.

 

More from Free Malaysia Today

Free Malaysia Today
Free Malaysia Today
image beaconimage beaconimage beacon