You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Najib seru rakyat bergantung, hargai jasa Umno

Free Malaysia Today logo Free Malaysia Today 9/2/2018 Bernama

a man standing in front of a crowd: najib_umno_melayu_600 (1) © Provided by MToday News Sdn Bhd najib_umno_melayu_600 (1) MUAR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan rakyat supaya sentiasa menghayati perjuangan Umno dan Barisan Nasional (BN) demi memastikan kesinambungan kemajuan negara.

Beliau berkata rakyat perlu bergantung kepada Umno, parti yang mempunyai kekuatan sendiri, dan bukannya dengan parti yang bergantung dengan parti lain.

“Takkan kita hendak harap parti yang bergantung kepada orang lain. Kita kena letak (harapan) pada parti yang sejati iaitu Umno.

“Selagi ada Umno, pembelaan orang Melayu dan kaum lain akan berterusan. Negara kita akan tetap maju ke depan,” katanya semasa berucap pada majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Pagoh di Felda Maokil hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan isteri Datin Seri Rosni Mansor serta Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Najib yang juga Presiden Umno menegaskan pemimpin parti itu sememangnya penting tetapi mereka memerlukan sokongan akar umbi untuk turut membantu membawa perubahan dalam negara.

“Saya sedar walaupun saya perdana menteri tetapi kalau 3.5 juta ahli Umno tiada di belakang, saya tidak mungkin boleh jadi pemimpin yang boleh bawa perubahan,” katanya.

Beliau berkata jasa Umno adalah jauh lebih besar daripada pemimpin kerana ia parti keramat dan bukannya sebarangan parti.

“Umno institusi politik tanah air. Parti yang paling berjaya, jadi harapan. Inilah yang kita mesti jaga. Bukan kita jaga pemimpin tetapi parti,” katanya.

Najib berkata 2 bekas pemimpin Umno (Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebelum ini pernah mendakwa DAP parti anti-Melayu dan anti-Islam tetapi kini mereka mengkhianati perjuangan Umno dan BN dengan bersekongkol dengan DAP.

“Ada orang dah lupa, dia (Dr Mahathir) jadi perdana menteri selama 22 tahun kerana Umno di belakang dia, hari ini dia nak musnahkan Umno, berkawan dengan DAP. Bukan sahaja berkawan, dah tidur dengan DAP,” kata Najib.

“Kerana (mereka) nak capai sesuatu yang tak tercapai, DAP nak gunakan Mahathir, Mahathir nak gunakan Muhyiddin (manakala) DAP hendak gunakan mereka untuk kurangkan undi Melayu.

“Jadi, mereka nak gunakan DAP kerana PPBM (tidak mampu). Inilah punca tenggelam timbul, kaki sendiri tak boleh berdiri jadi berpautlah pada DAP,” kata Najib.

Dalam pada itu, Najib berkata masyarakat Felda perlu mengingati semangat perjuangan dalam pembangunan tanah rancangan tersebut dan jasa pemimpin terdahulu untuk membangunkannya.

“Felda berubah kerana jasa pemimpin Umno dan BN,” kata beliau sambil memberitahu tanah rancangan itu sememangnya sentiasa berada dekat di hatinya.

“Felda tidak dapat dipisahkan dengan Tun Razak (Allahyarham Tun Razak Hussein) kerana lahirnya Felda adalah kerana perjuangan Allahyarham hendak melihat orang kampung yang tidak bertanah, orang miskin yang tidak ada tanah (mempunyai tanah sendiri)…tanah yang subur baik untuk peladang.

“Bermulalah perjuangan sehingga dia (Razak) sanggup meniti jambatan kayu dengan ‘bush jacket’ untuk melihat anak bangsa mendapat masa depan lebih baik,” kata Najib sambil memberitahu model rumah peneroka turut ditempatkan di Sri Taman, iaitu kediaman rasmi Razak.

Dalam pada itu, Najib menegaskan Umno dan BN akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata Pagoh akan terus maju selagi Umno dan BN terus berkuasa.

“Manifesto Pagoh akan terus kita laksanakan. Mail (Pemangku Ketua Umno Bahagian Pagoh Ismail Mohamed) minta apa yang patut ya. Apa pun Pagoh akan tetap kita majukan ke hadapan selagi Umno berkuasa, BN berkuasa,” kata beliau.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan geran tanah notis 5A kepada sebahagian daripada 721 peneroka Felda.

Semua geran itu meliputi tanah rumah seluas 200 ekar (80.93 hektar) dan 7,823 ekar (3,165.8 hektar) tanah ladang.

More from Free Malaysia Today

Free Malaysia Today
Free Malaysia Today
image beaconimage beaconimage beacon