You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

Tak lagi ikat perut

Harian Metro logo Harian Metro 6/3/2019 Hazira Ahmad Zaidi
a group of people in a store: WAN Jah  (kiri)  bersama rakannya menikmati agihan makanan percuma, semalam. © Provided by Media Prima WAN Jah (kiri) bersama rakannya menikmati agihan makanan percuma, semalam. am@hmetro.com.my

TIADA lebih menggembirakan warga emas daif di sini apabila menerima makanan percuma yang disumbangkan pihak prihatin.

Wan Jah Hamid, 65, antara seorang penerima Program Makanan Percuma mengakui, nasi bungkus diterima itu sangat bermakna untuk mengisi perutnya.

“Kalau tiada nasi untuk makan tengah hari ini, terpaksalah mak cik ikat perut,” katanya yang berasal dari Kampung Kasar, Pasir Mas.

Dia ditemui di pekarangan pejabat Pusat Penerangan Islam dan Dakwah Antarabangsa (IIDAC), Taman Hijau di sini, semalam.

Wan Jah berkata, dia mengetahui mengenai program agihan makanan percuma itu melalui rakannya yang pernah menerima sumbangan berkenaan sebelum ini.

“Mak cik sangat bersyukur dengan sumbangan ini kerana boleh meringankan beban belanja yang hanya bergantung kepada upah mengemas rumah orang dengan bayaran antara RM20 hingga RM30.

“Jika ada kerja, adalah wang untuk mak cik berbelanja membeli makanan dan keperluan lain, jika tidak, terpaksalah berjimat cermat serta ikat perut memandangkan mak cik tinggal seorang di rumah kerana sudah lama berpisah dengan suami.

“Seramai 11 anak mak cik pula bukan orang senang dan masing-masing mempunyai tanggungjawab kepada keluarga dan mak cik tidak mahu menyusahkan mereka,” katanya.

Seorang lagi penerima, Esah Mat, 80, berkata, dia penerima tetap program itu sejak setahun lalu dan setiap minggu akan berulang alik dari Gual Mesa, Rantau Panjang dengan menaiki bas.

Selain mengambil bahagian dalam program itu, dia juga menjual ubi di kaki lima Pasar Besar Siti Khadijah, di sini.

“Makanan percuma ini diberikan dua kali seminggu dan apabila waktu tengah hari, mak cik akan ke sini untuk mengambil nasi percuma bagi mengalas perut,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi IIDAC, Hassan Husin berkata, 120 bungkus nasi berlauk dan minuman diberikan kepada golongan asnaf yang berada di sekitar Kota Bharu.

Katanya, program itu sudah dimulakan sejak tiga tahun lalu dan pada peringkat awal, pihaknya tidak menyediakan makanan dalam kuantiti yang banyak kerana bimbang berlakunya pembaziran.

“Namun lama kelamaan, program ini mendapat sambutan dan ada dalam kalangan penerima adalah orang yang sama, tetapi kami tidak kisah kerana mereka golongan memerlukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More From Harian Metro

image beaconimage beaconimage beacon