You are using an older browser version. Please use a supported version for the best MSN experience.

'Demi negara, saya akan pilih Sukan Komanwel'

Berita Harian logo Berita Harian 23/6/2022 Helmi Talkah
Gambar fail - Datuk Lee Chong Wei (kiri) dan Lee Zii Jia. - Foto BERNAMA. © Provided by Berita Harian Gambar fail - Datuk Lee Chong Wei (kiri) dan Lee Zii Jia. - Foto BERNAMA. helmi.talkah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: "Demi negara, saya akan pilih Sukan Komanwel."

Itu reaksi legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berhubung keputusan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang memutuskan untuk menarik diri daripada Sukan Komanwel Birmingham 2022 bagi memberikan fokus terhadap persiapan menghadapi Kejohanan Dunia.

Tanpa mahu mempertikaikan keputusan dibuat Zii Jia, Chong Wei menegaskan secara peribadi dia akan memberi keutamaan kepada empat temasya sukan utama iaitu Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA sebelum memikirkan mengenai kejohanan lain termasuk Kejohanan Dunia.

Bekas pemain nombor satu dunia itu, berkata temasya sukan adalah sesuatu yang sangat penting untuk negara dan menganggap ia sebagai salah satu cara untuk dia 'membayar balik' pelaburan yang dibuat kerajaan untuk menjadikan dia jaguh dunia.

"Saya tidak boleh komen bagi pihak Zii Jia kerana saya tahu ia buat keputusan yang mudah. Namun, secara peribadi apa yang saya boleh katakan, Sukan Komanwel adalah sangat penting untuk negara.

"Ketika saya sebagai pemain, memang saya tekankan yang Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA akan menjadi keutamaan saya. Kejohanan Dunia berlangsung setiap tahun manakala Sukan Komanwel hanya empat tahun sekali…jadi, kita kena lihat di mana keutamaan kita.

"Dulu masa di BAM (Persatuan Badminton Malaysia), keutamaan kami adalah untuk beraksi di temasya sukan selepas itu baru kejohanan lain seperti Siri Super dan Kejohanan Dunia.

"Kalau kita menang Kejohanan Dunia sekali pun, ia hanya untuk sukan badminton dan negara yang mengambil bahagian dalam sukan itu tetapi jika kita menang satu pingat emas di Sukan Komanwel ia akan memberikan impak yang besar kepada kontinjen negara yang bersaing dengan lebih banyak negara-negara lain," katanya.

"Apa pun, saya menghormati keputusan Zii Jia kerana dia lebih tahu mengenai keadaan tubuh badannya, namun nasihat saya selepas ini dia lebih bijak menilai apa yang sepatutnya menjadi keutamaan," kata Chong Wei kepada BH Sukan.

Semalam, Zii Jia yang juga pemain nombor lima dunia mengesahkan dia menarik diri daripada beraksi di Sukan Komanwel yang berlangsung bermula 28 Julai hingga 8 Ogos bagi membolehkan dia memberikan fokus yang lebih terhadap persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun, pada 22 hingga 28 Ogos.

Juara Asia itu, berkata keputusan berkenaan dibuat disebabkan faktor keadaan tubuh badannya selepas beraksi dalam banyak kejohanan berturut-turut yang menyaksikan dia tidak cukup rehat.

Bagaimanapun, dia akan cuba sedaya upaya untuk memastikan dia berada keadaan terbaik bagi beraksi di Terbuka Malaysia yang akan bermula 28 Jun hingga 3 Julai ini dan Masters Malaysia 5 hingga 10 Julai.

Zii Jia baru sahaja pulang dari Jakarta, Isnin lalu selepas mengharungi dua kejohanan berturut-turut - Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More From Berita Harian

image beaconimage beaconimage beacon